Polisi benarkan masuk haiwan peliharaan ditarik balik

Sunway Square Mall hari ini mengumumkan telah mengemas kini polisi mereka apabila tidak lagi membenarkan haiwan peliharaan berada di dalam kawasan dalaman tertutup pusat beli belah itu.

Perubahan polisi pihak pusat beli-belah di Subang Jaya itu susulan penegasan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, bahawa haiwan peliharaan kekal dilarang di pusat beli-belah di dalam negeri tersebut.

Menerusi kenyataan, Sunway Square Mall berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan persekitaran yang selamat, bersih dan selesa untuk semua pengunjung.

“Haiwan peliharaan hanya dibenarkan di taman mesra haiwan peliharaan luar yang ditetapkan (Squarrel’s Playground) yang terletak di Sunway South Quay Lake.

“Haiwan peliharaan boleh menemani pemiliknya ketika melalui laluan antara tempat letak kereta pusat beli-belah (B3 & B4) ke zon luar yang ditetapkan, dengan bimbingan pasukan keselamatan kami,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan merakamkan penghargaan atas pemahaman orang ramai.

Terdahulu, masyarakat Islam mengkritik polisi ‘mesra’ haiwan peliharaan oleh pusat beli-belah yang mula dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 11 Disember lalu.

Kemarahan umum seterusnya dilihat membawa kepada seruan boikot kerana tindakan membenarkan anjing peliharaan memasuki premis jelas tidak menghormati masyarakat Islam di negara ini.

Semalam, Ng menegaskan bahawa larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di seluruh Selangor kekal berkuatkuasa.

Namun, katanya, kerajaan negeri akan meneliti semula garis panduan sedia ada bagi memastikan keharmonian komuniti terus terpelihara.

Beliau menambah, Selangor perlu mempertimbangkan amalan antarabangsa dengan teliti memandangkan negeri itu mempunyai masyarakat berbilang kaum.