Kes `suka sama suka’: Jabatan Agama Islam Kelantan sudah ambil alih
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) sudah menerima laporan kes rogol `suka sama suka’ membabitkan remaja perempuan bawah umur di negeri Pas itu untuk tindakan lanjut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud, JAHEAIK sedang melakukan siasatan susulan.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan kerana kes yang dirujuk masih dalam penelitian perundangan,” katanya, dipetik BH.
Sebelum ini, polis Kelantan memaklumkan JAHEAIK bermula Oktober lalu akan mengambil tindakan terhadap remaja perempuan bawah umur yang terbabit kes rogol suka sama suka.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat dilapor berkata, bagi wanita yang bukan kategori bawah umur tetapi melakukan perbuatan amang seksual secara suka sama suka akan turut dirujuk kepada JAHEAIK.
Beliau berkata, setakat ini lima kes rogol babit suka sama suka sudah dirujuk kepada JAHEAIK.
BACA JUGA Tiada kenaikan tol di 10 lebuh raya utama pada 2026