Rakyat terus nikmati kadar tol tanpa kenaikan tahun depan

Kerajaan akan meneruskan kadar tol seperti biasa pada tahun depan di 10 lebuh raya utama di seluruh negara sebagai usaha melindungi kebajikan rakyat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata 10 lebuh raya itu ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Selain itu, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) turut dikekalkan kadar tol.

“Keputusan ini selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, yang kerajaan bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.

“Perkara ini kemudian telah dipersetujui secara retrospektif dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan kadar tol itu,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, langkah berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna lebuh raya dengan memastikan tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan sepanjang tahun hadapan.

Alexander berkata, kerajaan tetap memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat walaupun perlu menanggung implikasi kewangan yang besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi 2026.

Peruntukan tersebut, tambahnya, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

“Kementerian Kerja Raya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan lebuh raya negara kekal mampan, efisien dan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengutamakan rakyat,” kata Alexander lagi.

BACA JUGA Afghanistan perlu perkasakan pendidikan untuk maju ke depan