Malaysia raih tahap keyakinan ekonomi tertinggi di ASEAN
Prestasi ekonomi negara yang semakin kukuh telah menyumbang kepada peningkatan keyakinan rakyat Malaysia terhadap hala tuju negara pada tahun ini, sekali gus mencerminkan sentimen positif yang bertambah baik terhadap pelaksanaan dasar kerajaan.
Menurut Ipsos Malaysia, melalui Pemantauan Kos Sara Hidup di Malaysia, tujuh daripada 10 rakyat Malaysia kini percaya negara berada di landasan yang betul, meningkat daripada 66 peratus pada tahun sebelumnya.
Firma penyelidikan pasaran global itu berkata, dapatan itu meletakkan Malaysia sebagai negara paling optimis dari segi ekonomi di Asia Tenggara.
“Peningkatan keyakinan itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, pengukuhan ringgit berbanding mata wang utama, serta pelaksanaan dasar ekonomi baharu yang memberi kesan positif kepada rakyat.
“Pada masa sama, kebimbangan terhadap rasuah, kemiskinan dan pengangguran turut menunjukkan penurunan, menandakan tahap kepercayaan awam yang lebih tinggi terhadap kestabilan sosial dan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.
Ipsos Malaysia menjelaskan tahap optimisme itu turut diterjemah kepada prospek perbelanjaan isi rumah yang lebih memberangsangkan.
Ia, jelasnya, melebihi purata global, disokong bantuan bersasar kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah, BUDI MADANI RON95 dan penyesuaian tarif elektrik.
Selari dengan perkembangan itu, rakyat Malaysia menjangkakan peningkatan taraf hidup pada tahun 2026, disokong pertumbuhan ekonomi, inflasi yang kekal rendah serta penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap pendapatan, perlindungan sosial dan pengurusan kos sara hidup.
BACA JUGA Rakyat terus nikmati kadar tol tanpa kenaikan tahun depan