Melayu tak perlu gusar, Wilayah Persekutuan di bawah PM
Orang Melayu tidak perlu berasa terancam dengan pelantikan Hannah Yeoh daripada DAP sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana kedudukan itu terikat sepenuhnya kepada struktur pentadbiran dan undang-undang di bawah kawalan Perdana Menteri.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad menegaskan isu kaum tidak harus dijadikan polemik kerana fungsi Menteri Wilayah Persekutuan ketika ini tidak lagi sama seperti dahulu yang mempunyai kementerian tersendiri.
“Sekarang, Menteri Wilayah berada di Bawah Jabatan Perdana Menteri. Dari segi struktur, menteri ini berada di bawah kawalan dan pemantauan Perdana Menteri.
“Jadi, tidak timbul isu dia boleh bertindak sesuka hati,” katanya dalam Bicara Haji Khalid Samad Siri 279 bertajuk “Kabinet Madani dan PRU-16′.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, fokus sebenar seorang menteri ialah keupayaan membangunkan idea dan melaksanakan dasar untuk memajukan Wilayah Persekutuan mengikut hala tuju yang telah ditetapkan kerajaan, bukannya soal latar belakang etnik atau kaum.
Khalid turut menyifatkan naratif ketakutan kaum yang dimainkan sesetengah pihak sebagai tidak berasas, malah mengalihkan perhatian daripada agenda sebenar pembangunan Kuala Lumpur.
“Isu kaum tidak perlu diperbesarkan. Kuala Lumpur dibangunkan mengikut perancangan yang tersusun dengan wawasan jelas menuju status bandar raya bertaraf antarabangsa. Itu yang patut diberi tumpuan,” katanya.
Mengulas kritikan bahawa jawatan Menteri Wilayah seharusnya dipegang oleh orang Melayu, Khalid menegaskan status kaum tidak menjamin dasar yang lebih baik jika hala tuju pembangunan tidak dipertahankan.
“Kalau diberi kepada orang Melayu sekalipun, tetapi Menara Kuala Lumpur diswastakan, apa maknanya? Isunya bukan siapa jadi menteri, tetapi dasar dan keputusan yang dibuat,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa sesiapa sahaja yang dilantik sebagai menteri, tanpa mengira kaum, tetap terikat dengan parameter undang-undang dan prosedur pentadbiran.
“Menteri tiada kuasa ikut suka. Dia terpaksa akur dengan kehendak undang-undang, bukan ikut kemahuan sendiri.
“Datuk Bandar dan ramai kakitangan dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan juga adalah ramai orang Melayu,” jelasnya lagi.
BACA JUGA ‘Polis dah panggil. Let’s dance!’