Papagomo didakwa salah guna syarikat kutip sumbangan awam bayar saman Anwar
Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa di Mahkamah Majistret pagi tadi atas pertuduhan gagal mengemukakan perubahan butiran perniagaan kepada pihak berkuasa berkaitan kutipan sumbangan orang awam.
Wan Muhammad Azri, yang lebih dikenali sebagai Papagomo, didakwa menerima sumbangan orang awam bagi membayar saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa mengemaskini maklumat syarikat berdaftar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat yang diuruskan oleh Papagomo sebelum ini didaftarkan melalui Borang A (Kaedah 3) sebagai syarikat pengurusan acara dan barangan runcit.
Borang A (Kaedah 4) adalah borang pendaftaran perniagaan untuk perniagaan milikan tunggal atau perkongsian di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bekas exco Pemuda Umno itu didakwa menerima dana awam melalui syarikat berkenaan antara 24 Okt dan 30 Nov 2017 tanpa mengemaskini maklumat syarikat, yang mana dana tersebut adalah untuk membayar ganti rugi sivil dalam kes saman yang difailkan terhadapnya pada 2013.
Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 12A Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Menurut Bernama, Papagomo yang menjalankan perniagaan perkhidmatan dan pengurusan majlis, gagal mengemukakan perubahan terhadap butir-butir berdaftar perniagaan miliknya apabila digunakan untuk tujuan penerimaan sumbangan daripada orang awam bagi membayar saman.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
BACA JUGA ‘Jadi punk bukan …, usia dah tua bangka’ – Selebriti tempelak Fahmi Reza