IMF iktiraf daya tahan ekonomi Malaysia, cerminan dasar kewangan berhemat
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengiktiraf daya tahan ekonomi Malaysia yang kental tahun ini walaupun berdepan ketegangan dan ketidakpastian dasar perdagangan global.
Ekonomi Malaysia disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik, peningkatan pekerjaan dan kitaran kukuh sektor teknologi global.
“Prestasi teguh ini sebahagiannya mencerminkan dasar ekonomi negara yang kukuh – pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat,” kata Ketua Pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi Malaysia, Masahiro Nozaki.
Beliau berkata demikian selepas sesi perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan lain.
Jelasnya, perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2025 telah membantu mengurangkan ketidakpastian terhadap perniagaan dan pengguna di Malaysia.
Bagaimanapun, landskap global telah berubah, dengan ketidakpastian global menjadi satu normal baharu, pembinaan semula penampan makroekonomi Malaysia kekal menjadi satu yang kritikal.
“Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.
“IMF mengunjurkan pertumbuhan akan perlahan sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, mencerminkan kesan tarif tinggi AS ke atas Malaysia,” kata Nozaki dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa pertumbuhan berdepan risiko negatif berpunca terutamanya daripada faktor luaran.
“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kelembapan permintaan luaran boleh menjejaskan Malaysia jika berlaku peningkatan langkah-langkah perlindungan, turun naik pasaran kewangan global dan potensi penurunan ledakan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.
Namun, terdapat juga kemungkinan berlakunya peningkatan positif, termasuk kejayaan dalam rundingan perdagangan global, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada dijangkakan dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang lebih pantas.

Komitmen Malaysia
Nozaki berpendapat komitmen Malaysia terhadap pengurusan fiskal yang berhemat dapat dilihat melalui kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang penting pada 2023 dan pengurangan defisit fiskal yang stabil sejak 2022.
Jelasnya, IMF menyambut baik rancangan pihak berkuasa untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan kepada 3 peratus menjelang 2028.
Beliau berkata, usaha berterusan membina semula penampan fiskal melalui langkah-langkah perbelanjaan dan hasil yang mampan dan berkualiti tinggi kekal penting memandangkan hutang kerajaan persekutuan yang berada pada 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir 2024, masih melebihi paras pra-pandemik.
“Kami mengalu-alukan usaha berterusan untuk memperkukuh ketelusan fiskal dan kecekapan perbelanjaan, termasuk kelulusan Akta Perolehan Kerajaan 2025.
“Inflasi, dengan purata 1.4 peratus sepanjang Januari-Oktober 2025, diunjurkan kekal stabil dan secara beransur-ansur kembali kepada purata jangka panjangnya iaitu 2 peratus.” katanya.
Dalam konteks ini, Nozaki berkata, IMF menilai pendirian dasar monetari semasa sebagaimana yang sesuai.
BACA JUGA Satu lagi video pelajar sekolah agama didera tular