SIA dan GENOVASI jalin kerjasama strategik lahirkan usahawan berdaya saing

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) diantara Sun International Academy dengan Genovasi University College di IDCC Corporate Tower, Level 3, Jalan Pahat L 15/L, Section 15, Shah Alam, Selangor. 20hb Disember 2025 (Sabtu)

KUALA LUMPUR – Sun International Academy (SIA) memeterai kolaborasi strategik bersama Genovasi Centre for Higher Learning (GCHL) dengan sokongan syarikat bersekutu serta pengendali program, Worldclass Trade & Development Berhad, bagi memperkenalkan Program Profesional Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Keusahawanan, Kewangan dan Kepimpinan.

Kerjasama ini merupakan inisiatif pendidikan berimpak tinggi yang menawarkan program pembelajaran secara atas talian selama enam hingga 12 bulan, terbuka kepada semua lapisan masyarakat berusia 18 tahun ke atas. Program ini dirangka khusus bagi mempersiapkan masyarakat dan generasi muda dengan ilmu serta kemahiran keusahawanan yang relevan dan praktikal, sejajar dengan cabaran ekonomi semasa.

Menurut pihak penganjur, program ini diwujudkan sebagai respons kepada realiti semasa di mana ramai pemegang diploma dan ijazah masih gagal membina kerjaya atau perniagaan yang stabil dan menguntungkan. Walaupun memiliki pencapaian akademik cemerlang, sebahagian besar graduan masih berdepan isu pengangguran, manakala mereka yang bekerja pula berhadapan cabaran kewangan serta tergolong dalam kategori miskin bandar dengan pendapatan terhad.

GENOVASI, yang dikenali sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan inovasi, keusahawanan dan pembangunan masa depan, menekankan pendekatan pembelajaran yang fleksibel, praktikal dan selari dengan keperluan industri. Melalui kerjasama ini, GENOVASI komited melahirkan graduan berdaya saing yang mampu memimpin perubahan dalam dunia sebenar, seiring aspirasi Sun International Academy.

Sementara itu, Sun International Academy melalui matlamat utamanya memperkenalkan PUAS – Program Usahawan Academy S.I.A., iaitu sebuah inisiatif untuk membentuk generasi usahawan masa depan. Program ini membekalkan pelajar dengan ilmu, strategi dan formula keusahawanan profesional yang telah terbukti berjaya.

Melalui PUAS, para pelajar dibimbing secara sistematik untuk menjana pendapatan sebenar secara berterusan, mencipta peluang ekonomi yang mampan serta membina perniagaan yang stabil dan berkembang dalam jangka panjang. Program ini turut menekankan pembinaan usahawan yang bukan sahaja berjaya dari segi peribadi, malah mampu memberi impak sosial dan ekonomi kepada komuniti serta negara.

Hasil daripada pendekatan ini, setiap pelajar bukan sahaja akan memperoleh Sijil Profesional Diploma Keusahawanan daripada GENOVASI, malah turut dilengkapi kemahiran praktikal untuk menjadi usahawan inovatif dan penggerak ekonomi. Inisiatif ini selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasakan ekonomi negara melalui pendidikan dan pembangunan keusahawanan.

Sun International Academy menegaskan komitmennya untuk melahirkan generasi usahawan yang berilmu, berdikari, berani dan berinovasi serta mampu memimpin masa depan. Kerjasama strategik ini diyakini bukan sekadar platform akademik, tetapi satu transformasi sebenar ke arah kejayaan dan impak sosial-ekonomi yang mampan, sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam menyemai revolusi keusahawanan berpendidikan demi kemajuan masyarakat dan negara.
