Jangan biar isu UEC berlarutan

LEE CHEAN CHUNG

Saya mengalu-alukan pengumuman Kerajaan Perpaduan yang menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

UEC merupakan satu peperiksaan yang dibangunkan melalui usaha gigih rakyat tanah air kita dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Ia bukan sahaja tidak bercanggah dengan Perlembagaan, malah dilindungi oleh Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain.” Sehingga kini, UEC telah diiktiraf oleh banyak universiti cemerlang di pelbagai negara, sesuatu yang wajar dibanggakan.

Saya nampak tiada keperluan membiarkan isu ini berlarutan kerana fokusnya lebih kepada pemperakuan itu sendiri. Jika benar kerajaan berhasrat untuk mengiktirafnya—sama ada secara bersyarat atau tanpa syarat—saya menggesa agar perkara ini segera dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan sokongan sebulat suara. Langkah ini penting bagi menunjukkan ketuntasan kerajaan supaya dapat memberikan tumpuan kepada isu pendidikan yang lain.

Memandangkan kerajaan pada tahun 2018 telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) yang telah menyiapkan laporannya tetapi kemudiannya diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, saya berpandangan bahawa sebagai langkah pertama, laporan tersebut wajar dinyahklasifikasikan dengan segera untuk tatapan dan penelitian umum.

Di samping isu UEC, terdapat juga banyak lagi permasalahan pendidikan yang masih tergantung dan memerlukan perhatian serius. Antaranya, mengikut laporan UNICEF, kira-kira 28% murid Tahun Satu masih tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira; pelajar cemerlang STPM gagal melanjutkan pengajian dalam bidang yang sepadan; serta pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang memperoleh ijazah kelas pertama tetapi mulai tahun 2026 tidak lagi layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN.

Dalam isu pengiktirafan UEC, Kerajaan Perpaduan seharusnya mempamerkan keupayaan dan keyakinan dalam membuat keputusan, agar ruang dan tenaga politik dapat dimanfaatkan untuk menangani isu-isu pendidikan lain yang sama penting, tetapi masih kekurangan kemahuan politik untuk direalisasikan.


LEE CHEAN CHUNG ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.