Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN anjuran Malaysia bincang konflik Kemboja – Thailand

Wisma Putra mengesahkan bahawa Malaysia menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN untuk membincangkan konflik Kemboja -Thailand di Kuala Lumpur esok.

Ia susulan kepada persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Disember.

“Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

“Ia akan memberikan satu wadah kepada Menteri Luar ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand, serta mempertimbangkan langkah boleh diambil ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan serta kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu dan rantau ini secara keseluruhan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN dan dalam hal itu, untuk membantu kedua-dua pihak supaya terus menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hubungan kejiranan yang baik termasuk kewujudan bersama secara aman, serta kerjasama dua hala dan pelbagai hala ke arah mencapai penyelesaian yang aman, adil serta berkekalan terhadap sebarang pertikaian,” kata kenyataan itu.

BACA JUGA: Dividen ASB 5.75 sen seunit