Namewee bebas pertuduhan ambil dadah

Mahkamah Majistret membebaskan penyanyi rap kontroversi, Namewee daripada pertuduhan dadah selepas keputusan ujian air kencing adalah negatif.

Majistret S Arunjothy membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan pihaknya menarik balik pertuduhan tersebut susulan tiada bukti sokongan.

Kata Amritpreet ketika prosiding pagi ini, keputusan ujian makmal mengesahkan Namewee tidak berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan dan ia menyebabkan pertuduhan penggunaan dadah tidak dapat diteruskan.

Susulan perkembangan itu, peguam tertuduh, Joshua Tay memohon mahkamah mengeluarkan perintah pelepasan dan pembebasan sepenuhnya terhadap anak guamnya, dengan alasan tiada lagi asas undang-undang untuk didakwa semula atas pertuduhan sama.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan membebaskan Namewee sepenuhnya daripada pertuduhan penggunaan dadah.