PH bersedia sekiranya DUN Perlis dibubarkan

Pakatan Harapan bersedia menghadapi pembubaran Dewan Undangan Negeri Perlis, umum pengerusi PH Perlis Noor Amin Ahmad.

“Pakatan Harapan Perlis ingin menegaskan bahawa kami akan terus memantau perkembangan semasa dengan penuh tanggungjawab. Kami juga bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat.

“Dengan pengalaman mentadbir, kerjasama kukuh bersama parti-parti Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan Negeri, serta komitmen terhadap tadbir urus yang telus, stabil dan berfokuskan rakyat, Pakatan Harapan Perlis bersedia menawarkan kepimpinan baharu untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Beliau berkata demikian ekoran ura-ura bahawa majoriti ADUN Perlis telah mengemukakan akuan bersumpah bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap pentadbiran Menteri Besar Perlis Shukri Ramli.

Lima Adun daripada Bersatu – Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena) dan diikuti oleh Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) telah membuat akuan bersumpah tersebut.

Satu-satunya wakil PH di dalam DUN Perlis – Gan Ay Ling – turut menyerahkan akuan bersumpah.

DUN Perlis terdiri daripada 15 anggota sahaja.

Amin yang memimpin cabang PKR Kangar turut berkata isu ini boleh mengheret pihak istana ke dalam krisis yang bermula di dalam Perikatan Nasional Perlis.

“Dari sudut Perlembagaan, penarikan sokongan dan percaturan politik yang tidak matang ini berpotensi mengheret DYMM Tuanku Raja Perlis ke dalam krisis yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah di peringkat dalaman Perikatan Nasional sendiri.

“Institusi Raja wajib dihormati dan tidak seharusnya dijadikan jalan keluar kepada kegagalan kepimpinan politik.”

Beliau turut mendedahkan kelemahan pentadbiran PN di Perlis.

“Dari sudut tatacara politik dan keupayaan mentadbir, meskipun Perikatan Nasional memenangi PRU-15 di Perlis, hakikatnya mereka gagal membuktikan bahawa pentadbiran yang dibentuk benar-benar menepati slogan Bersih dan Stabil.

“Dengan kelebihan hampir mutlak di Dewan Undangan Negeri, PN seharusnya memberi fokus kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat. Namun yang berlaku ialah politik berterusan, konflik dalaman, dan kegagalan menyelesaikan masalah asas rakyat.

“Kelemahan pengurusan banjir baru-baru ini menjadi bukti nyata kegagalan pentadbiran negeri. Rakyat tidak menilai melalui slogan, tetapi melalui tindakan.

“Apabila krisis sebenar berlaku, kerajaan negeri gagal tampil cekap, tersusun dan berkesan.”

BACA JUGA: Kerajaan Perlis pimpinan Shukri Ramli tumbang?