PM Anwar seru hormati keputusan mahkamah isu Titah Adendum
Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa susulan penghakiman berhubung isu Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang diputuskan semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.
“Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang dibuat hakim,” kata Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini.
Anwar berkata, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim.
Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri berkenaan untuk melaksanakan Titah Adendum supaya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Beliau juga memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Permohonan Anwar itu untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya.
Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.
BACA JUGA Kerajaan Perlis pimpinan Shukri Ramli tumbang?