AMANAH betulkan khilaf MP Pasir Gudang isu pengampunan
Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman menegaskan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim telah terkhilaf dari segi fakta perundangan apabila membandingkan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keputusan mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak berkaitan Titah Addendum.
Menurut Dr Zulqarnain, isu pengampunan Anwar telah diputuskan secara jelas oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lwn Mohd Khairul Azam Abdul Aziz & satu lagi rayuan [2023] 3 MLRA 149, di mana mahkamah menegaskan kesahan pengampunan penuh yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 ketika itu, Sultan Muhammad V.
“Perintah pengampunan Anwar adalah jelas, sah dan dibuat mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang secara teratur,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, rekod Mahkamah Tinggi turut mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersidang dengan kehadiran wakil Peguam Negara dan Perdana Menteri yang bertindak sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu.

Sebaliknya, Dr Zulqarnain berkata, kes Najib Razak adalah berbeza sama sekali kerana Lembaga Pengampunan telah pun membuat keputusan meremitkan hukuman penjara sebanyak 50 peratus dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
“Keputusan itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, selaras dengan pendirian Mahkamah dalam kes Badan Peguam Malaysia lwn Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan [2024],” jelasnya.
Semalam, Hassan yang merupakan Ahli Parlimen PKR dilapor mempertikaikan mengapa Anwar boleh menerima pengampunan penuh pada 2018 sedangkan Najib Razak tidak diberikan layanan sama.
Dua alasan
Mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke yang menolak permohonan Najib berkaitan Titah Addendum, Dr Zulqarnain menjelaskan penolakan itu dibuat atas dua alasan utama, iaitu titah tersebut bukan perintah sah kerana dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan serta ketiadaan peruntukan undang-undang berhubung pelaksanaan tahanan rumah di Malaysia.
Beliau menegaskan, keputusan Mahkamah adalah selaras dengan prinsip perlembagaan dan tidak boleh ditafsir sebagai campur tangan kehakiman terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
“Mahkamah hanya meneliti aspek prosedur seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 42 dan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak meremehkan institusi Raja-Raja, malah konsisten mempertahankan keputusan pengampunan yang dibuat secara teratur,” katanya.
Dr Zulqarnain menambah, jika pengampunan penuh terhadap Najib dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, keputusan tersebut juga tidak boleh dicabar.
Justeru, tegas beliau lagi, perbandingan yang dibuat oleh Hassan Karim adalah tidak tepat dan menunjukkan kekhilafan dalam memahami prinsip serta prosedur pengampunan di sisi Perlembagaan.
BACA JUGA Fahami kes Najib Razak dengan betul