Tiga pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia digantung

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.

Satu sumber daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan penggantungan tersebut.

“Ya, tiga orang tersebut telah digantung tugas oleh menteri dengan serta-merta.

“Ini termasuk dua orang yang kini ditahan SPRM dan seorang lagi PTTK,” kata sumber, menurut laporan media.

Sebab individu ketiga itu digantung tugas tidak dijelaskan.

Sistem direktori kakitangan KSM juga tidak lagi memaparkan nama ketiga-tiga pegawai tersebut.

SPRM telah menyerbu pejabat kementerian pada 13 April dan menahan seorang pegawai kanan menteri.

Setiausaha sulit ditahan pada 14 April dan direman selama empat hari.

Di Ipoh pula, seorang ahli perniagaan turut ditahan kerana terlibat dalam rasuah melibatkan wang RM97 juta.

Pagi ini, Sivakumar telah merekodkan kenyataan beliau di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

BACA JUGA: Sivakumar rekodkan keterangan, bukan saksi, disyaki

Â