PH Perlis sokong kerajaan pimpinan Pas
Pakatan Harapan Perlis telah membuat ketetapan menyokong negeri tersebut dipimpin oleh Pas sehingga tamat penggal.
“Pakatan Harapan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Perlis yang terbentuk pada hari ini adalah hasil mandat jelas rakyat melalui proses demokrasi yang sah.
“Mandat besar yang diberikan oleh rakyat ini wajib dihormati dan dipelihara. Ia bukan ruang untuk pergolakan dalaman atau percaturan kuasa yang hanya menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri.
“Sehubungan itu, Pakatan Harapan Perlis menyatakan sokongan agar kerajaan negeri sedia ada diteruskan dan kekal memerintah sehingga tamat penggal,” kata gabungan itu pada satu kenyataan hari ini.
Pendirian ini berbeza dengan pandangan pengerusi PH Perlis Noor Amin Ahmad yang mengatakan pihaknya bersedia berdepan pembubaran DUN.
Pendirian PH Perlis adalah berdasarkan alasan berikut:
“Kestabilan kerajaan adalah keperluan utama bagi sebuah negeri kecil seperti Perlis, bukan sahaja untuk memastikan kelancaran pentadbiran, malah bagi menjimatkan kewangan kerajaan, mengelakkan pembaziran akibat ketidaktentuan politik serta tidak mengguris mandat rakyat yang telah diberikan secara sah,” kata gabungan itu.
Politik Perlis bergolak susulan akuan bersumpah lapan ADUN yang tidak menyokong kepimpinan Menteri Besar Shukri Ramli.
“Pertelingkahan terbuka hanya melemahkan pentadbiran, mencalarkan imej negeri dan mengganggu tumpuan kerajaan dalam mengurus hal-hal asas rakyat. Keutamaan kerajaan negeri seharusnya diberikan sepenuhnya kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kemajuan negeri secara mampan,” kata gabungan itu lagi.
PH Perlis juga menekankan kepentingan kepimpinan negeri bersikap matang serta menghormati Institusi Raja.
“Hubungan yang harmoni dan penuh hormat dengan DYMM Tuanku Raja Perlis serta Istana merupakan tunjang utama kestabilan negeri dan perlu dipelihara dengan kebijaksanaan serta keinsafan terhadap kedudukan Raja Berperlembagaan,” katanya.