Harga runcit RON95 tanpa subsidi turun enam sen, RON97 turun lapan sen

Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi di seluruh negara diturunkan sebanyak lapan sen dan enam sen masing-masing kepada RM3.16 dan RM2.56 seliter bagi tempoh 25 hingga 31 Disember 2025.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia juga diturunkan lapan sen kepada RM2.94 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada kadar RM2.15 seliter dalam tempoh sama.

Menerusi kenyataan hari ini, MOF juga memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) juga kekal pada RM1.99 seliter.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97, RON95 dan diesel, dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dunia serta menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan itu.

Harga mingguan petroleum ditetapkan mengikut formula Mekanisme Harga Automatik, selaras dengan dasar penetapan harga runcit produk petroleum.

Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

BACA JUGA ‘Tiada faedah jadi pembangkang walau satu sen pun’