YB Anfaal Saari hargai inisiatif PEKEMA bantu 500 murid asnaf menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2026

FOTO BERITA: Program Kembali Ke Sekolah 2026 bersama Presiden PEKEMA, Ybhg Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin. Turut hadir YB Puan Anfaal Saari EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat merangkap ADUN Taman Templer dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang serta Kelab Sukan dan Rekreasi PEKEMA di Dewan Sri Siantan, berhampiran Kompleks Renang Sri Siantan, Batu Caves, Selangor. 24hb Disember 2025 (Rabu)

Berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan Sri Siantan, berhampiran Kompleks Renang Sri Siantan di sini, beliau berkata usaha berterusan badan bukan kerajaan seperti PEKEMA amat selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan kebajikan rakyat, terutamanya kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan, sentiasa terbela.

“Bantuan seperti ini bukan sekadar meringankan beban kewangan ibu bapa, malah memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih ceria dan berdaya saing,” katanya.

Seramai 500 murid dan pelajar daripada golongan asnaf di sekitar Selayang menerima sumbangan beg sekolah serta peralatan persekolahan menerusi program Back to School bagi sesi persekolahan 2026.

Presiden PEKEMA, YBhg. Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin, dalam ucapannya memaklumkan bahawa yayasan menyasarkan pengagihan 10,000 beg sekolah kepada pelajar yang memerlukan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM500,000. Selain beg sekolah, bantuan lain seperti pakaian seragam turut disalurkan mengikut keperluan penerima.

Menurut beliau, program sulung ini merupakan permulaan kepada misi kebajikan berskala besar sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Perak, dengan proses pemilihan penerima dilaksanakan secara bersama pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Majlis tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang serta Kelab Sukan dan Rekreasi PEKEMA, dan turut disiarkan secara langsung menerusi FB Live.