Speaker DUN Perlis sendiri tidak pasti, sebelahi besan Presiden Pas
Oleh MOHAMED HADI
Speaker Dewan Negeri Perlis sudah pun mengumumkan kekosongan luar jangka terhadap tiga kerusi Dewan Negeri iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Ibarat burung kakak tua yang hanya membaca teks, ternyata Speaker sendiri tidak mahir dengan kedudukan undang-undang yang ada di hadapannya.
Sambil mengakui Perkara 55(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis telah menetapkan bahawa pilihan raya kecil (PRK) sebenarnya tidak perlu diadakan kerana tempoh Dewan Negeri sudah melebihi 3 tahun, tetapi Speaker ‘berpuas hati’ bahawa PRK tetap perlu diadakan.
Tapi apabila disoal lebih lanjut, Speaker sendiri mengakui sebenarnya yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih memiliki majoriti (6 Pas + 5 Bersatu), tapi dalam masa yang sama dia menyebut kedudukan kerusi ialah 6 – 6, sekaligus meletakkan Bersatu dan PKR dalam bakul pembangkang yang sama.
Sama ada 11 – 1 atau 6 – 6, Speaker sendiri tidak pasti, tapi pada hematnya PRK tetap perlu diadakan sebab “Kalau apa-apa nanti, DUN tergantung”, apa dan bagaimana yang tergantung dia sendiri tidak perincikan dan hanya akan menulis perincian tersebut kepada SPR nanti.
Menggulingkan MB
Speaker juga tidak dapat menjawab soalan wartawan berkenaan status tiga wakil rakyat yang asalnya bertanding atas tiket PN, bukannya Pas.
Speaker tidak merungkaikan persoalan sebaliknya dia cuma menjawab “mereka dipilih oleh Pas” dan “mereka telah bai’ah”, sedangkan watikah calon PN sebenarnya dikeluarkan oleh Pengerusi PN.
Apa yang lebih mengejutkan, Speaker mengakui bahawa dia telah memanggil dua wakil rakyat dari dua parti (Pas dan Bersatu) dan menasihatkan agar mereka tidak meneruskan hasrat untuk menggulingkan MB.
Malah, Speaker mengakui dia telah mengetahui rancangan tebuk atap ini lebih awal, kerana itulah dia memanggil dua wakil rakyat ini.
Pendedahan ini mengejutkan kerana sebagai seorang Speaker, dia tidak sepatutnya campur tangan dalam apa saja usaha sama ada untuk menggulingkan atau mengekalkan MB.
Speaker sepatutnya dilihat kekal neutral. Dalam tidak sedar dia sendiri telah mengaku berpihak dan menyebelahi besan Presiden Pas.
Jika MB berjaya ditukar nanti, kedudukan Speaker juga sudah tidak selamat.
Berdasarkan sidang media burung kakak tua, saya menjangkakan SPR hanya akan menolak saja gesaan Speaker.
Majoriti tergugat yang didakwa Speaker setakat ini masih bersifat spekulatif.
Apa yang mungkin berlaku nanti, kerusi telah diisytiharkan kosong (kuasa Speaker), tetapi PRK tidak diadakan (kuasa SPR).
Episod ADUN Kota Siputeh, Kedah yang menyaman Speaker Dun Kedah pada 2009 akan berulang.
Adapun jika DYMM Raja Perlis melantik MB baharu, Pas dijangka akan menyokong MB baharu tersebut seperti mana yang dilakukan selepas Tan Sri Khalid Ibrahim disingkirkan sebagai MB Selangor dahulu.
BACA JUGA Pas tuntut Bersatu juga bertindak kepada 5 Adunnya