1MDB: Tujuh tahun turun naik mahkamah, hari ini penentuan nasib Najib

Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada dibebaskan atau disabitkan kesalahan dalam pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Selepas tujuh tahun perbicaraan, keputusan dijangka akan dibaca pada jam 9 pagi ini.

Ini merupakan kes jenayah terakhir dihadapi Najib.

Jika mahkamah mendapati barisan pembelaan Najib yang diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, bekas Presiden UMNO itu dibebaskan dari pertuduhan serta-merta.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mengambil pendekatan berbeza, hakim akan menjatuhi hukuman terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Tetapi Najib mempunyai hak untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta SRC International dengan hukuman dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas keputusan Lembaga Pengampunan.

BACA JUGA Bukit Bintang penuh sampah dapat teguran menteri