Drama letak jawatan Pas Perlis dan bila Speaker sendiri keliru

OLEH MOHAMED HADI

Seperti yang dijangka Speaker Dewan Negeri Perlis mengumumkan kekosongan luar jangka terhadap tiga kerusi Dewan Negeri iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji.

Ibarat burung kakak tua yang hanya membaca teks, ternyata Speaker sendiri tidak mahir dengan kedudukan undang-undang yang ada di hadapannya.

Sambil mengakui Perkara 55(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis telah menetapkan bahawa pilihan raya kecil (PRK) sebenarnya tidak perlu diadakan kerana tempoh Dewan Negeri sudah melebihi 3 tahun, tapi Speaker ‘berpuas hati’ bahawa PRK tetap perlu diadakan. 

Tapi apabila disoal lebih lanjut, Speaker sendiri mengakui sebenarnya yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih memiliki majoriti (6 PAS + 5 Bersatu).

Tapi dalam masa yang sama dia menyebut kedudukan kerusi ialah 6 – 6, sekaligus meletakkan Bersatu dan PKR dalam bakul pembangkang yang sama. 

Sama ada 11 – 1 atau 6 – 6, Speaker sendiri tidak pasti, tapi pada hematnya PRK tetap perlu diadakan sebab “Kalau apa-apa nanti, Dun tergantung”.

Apa dan bagaimana yang tergantung dia sendiri tidak perincikan dan hanya akan menulis perincian tersebut kepada SPR nanti.

Speaker juga tidak dapat menjawab soalan wartawan berkenaan status tiga wakil rakyat yang asalnya bertanding atas tiket PN, bukannya Pas. 

Speaker tidak merungkaikan persoalan sebaliknya dia cuma menjawab “mereka dipilih oleh Pas” dan “mereka telah bai’ah”, sedangkan watikah calon PN sebenarnya dikeluarkan oleh Pengerusi PN. 

Apa yang lebih mengejutkan, Speaker mengakui bahawa dia telah memanggil dua wakil rakyat dari dua parti (Pas dan Bersatu) dan menasihatkan agar mereka tidak meneruskan hasrat untuk menggulingkan MB. 

Malah Speaker mengakui dia telah mengetahui rancangan tebuk atap ini lebih awal, kerana itulah dia memanggil dua wakil rakyat ini. 

Pendedahan ini mengejutkan kerana sebagai seorang Speaker, dia tidak sepatutnya campur tangan dalam apa saja usaha sama ada untuk menggulingkan atau mengekalkan MB. 

Speaker sepatutnya dilihat kekal neutral. Dalam tidak sedar dia sendiri telah mengaku berpihak dan menyebelahi besan Presiden Pas.

Jika MB berjaya ditukar nanti, kedudukan Speaker juga sudah tidak selamat.

Berdasarkan sidang media burung kakak tua tadi aku menjangkakan SPR hanya akan menolak saja gesaan Speaker. 

Majoriti tergugat yang didakwa Speaker setakat ini masih bersifat spekulatif. Demikianlah orang yang jadi Speaker ni dia ingat dia dah hebat sangat ke Ab Shukur Azhar?

Apa yang mungkin berlaku nanti, kerusi telah diisytiharkan kosong (kuasa Speaker), tetapi PRK tidak diadakan (kuasa SPR). 

Episod Adun Kota Siputeh, Kedah yang menyaman Speaker Dun Kedah pada tahun 2009 akan berulang.

Adapun jika Raja Perlis melantik MB baharu, Pas dijangka akan menyokong MB baharu tersebut seperti mana yang dilakukan selepas Tan Sri Khalid Ibrahim disingkirkan sebagai MB Selangor dahulu. Stay tuned. 

Dr Mohamed Hadi adalah pemilik PhD undang-undang dan pernah menjadi pengajar di UIA.