Ringgit di paras tertinggi dalam tempoh lima tahun
Ringgit hari ini mencecah paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lima tahun.
Menurut Bernama, ringgit meningkat kepada 4.0410/0495 hari ini berbanding dolar AS daripada 4.0425/0515 pada penutupan Rabu.
Ringgit pernah mencatat paras 4.0450/0443 pada 26 Februari 2021.
Bercakap kepada agensi itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur kekal optimis terhadap ringgit dengan dolar AS-ringgit berada pada paras paling kukuh dalam tempoh lima tahun.
“Lazimnya, ada kemungkinan berlaku aktiviti pengambilan untung, terutamanya apabila pasaran telah mengambil kira semua berita positif.
“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit terus diniagakan dalam julat kecil 4.04 hingga 4.05 pada hari ini,” katanya.
Selain itu, ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Berbanding dolar Singapura, ringgit naik ke paras 3.1460/1531 daripada 3.1506/1578, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9990/13.0352 daripada 13.0486/0705 sebelum ini dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.86/6.89 daripada 6.88/6.90.
Namun, susut sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 241.3/242.0 berbanding 241.0/241.8 sebelum ini.
BACA JUGA 1MDB: Tujuh tahun turun naik mahkamah, hari ini penentuan nasib Najib