Ini rupanya punca di sebalik peletakan jawatan Shukri Ramli di Perlis

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli telah meletakkan jawatannya semalam berdasarkan faktor kesihatan.

Tetapi apakah itu realiti politik Perlis yang menjadi krisis perlembagaan dan krisis untuk parti-parti yang sudah bertapak lama di negeri harum manis?

Sumber mendedahkan bahawa Shukri sepatutnya berundur secara baik seusai pilihan raya negeri Sabah kerana gagal mengotakan janji pilihan raya negeri yang dibuat kepada para pengundi.

Walau bagaimanapun beliau enggan berbuat demikian. Ini menyebabkan sebilangan Adun mengutamakan kepentingan pengundi mereka berbanding kepentingan parti.

Ini yang menyebabkan lapan Adun (5 Bersatu dan 3Pas) menandatangani akuan bersumpah dan menarik sokongan mereka kepada Shukri.

Shukri seterunya mengumumkan peletakan jawatannya pada Hari Natal seusai kembali dari China.

Pas pula menarik balik keanggotaan tiga ahlinya yang turut sama menandatangani akuan bersumpah – Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) and Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Langkah Kangar yang dilaksanakan oleh lapan Adun tersebut telah meretakkan hubungan Pas – Bersatu.

Dalam keadaan ini satu tsunami politik bakal berlaku melibatkan semua parti politik Melayu selain daripada Amanah yang tidak mempunyai kerusi di Perlis.

Di peringkat pusat pula, Pas mencuba nasib menyunting Umno dengan tawaran Muafakat Nasional.

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah telah menasihatkan Umno untuk berundur daripada kerajaan Madani ekoran kegagalan mantan presiden Datuk Seri Najib Razak mendapat perintah tahanan rumah.

Hubungan MCA dan MIC dengan Umno juga bagaikan retak menantikan belah.

Di Perlis, Umno cuba mengelakkan krisis peringkat pusat tetapi tetap menyalahkan kegagalan kepimpinan Shukri.

“Perlis memerlukan kepimpinan yang kuat untuk mengembangkan ekonominya. Ia tidak lagi boleh menjadi negeri transit tanpa sebarang pelaburan,” kata seorang pemimpin Umno.

Perlis hanya mempunyai beberapa restoran McDonald’s dan sebuah hospital swasta – Hospital Pakar KPJ Perlis.

Di sebelah Pakatan Harapan, satu-satunya Adun PH, Gan Ay Ling (PKR – Indera Kayangan) berkata biar apa pun keputusan, ia mestilah berpihak kepada rakyat yang memerlukan kepimpinan yang stabil dan bersatu untuk membangunkan negeri ini.

BACA JUGA: Konflik di Perlis tunjuk kegagalan PN urus negeri