Kopi, Ukhuwah dan Iltizam – DPMM tutup tirai 2025 dengan penuh makna

FOTO BERITA: Majlis Kopi & Ukhuwah 2025 bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Warung Pagi-Pagi, Federal Hills Kuala Lumpur. 26hb Disember 2025 (Jumaat)

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menutup tirai aktiviti tahun 2025 dengan penganjuran program Kopi & Ukhuwah DPMM 2025: Sembang Akhir Tahun, majlis pertemuan santai yang bertujuan mengukuhkan ukhuwah serta mempererat hubungan kebersamaan dalam kalangan kepimpinan dan ahli organisasi.

Program yang berlangsung di Warung Pagi-Pagi, Federal Hills itu menghimpunkan Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, serta barisan kepimpinan dan ahli DPMM dari pelbagai latar belakang.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan selawat Mahalul Qiyam dan Salawat yang menyuntik suasana keinsafan serta kebersamaan. Ia diteruskan dengan ucapan Presiden DPMM yang menekankan kepentingan iltizam, kesatuan dan peranan strategik DPMM dalam memperkasa ekonomi Melayu-Islam menjelang tahun baharu.

Turut menyampaikan tausiyah ialah Habib Nael Ben Tahir, yang mengajak para hadirin untuk terus memelihara nilai ukhuwah, keikhlasan serta adab dalam kepimpinan dan perjuangan organisasi.

Program kemudiannya diteruskan dengan santapan malam serta sesi sembang santai yang memberi ruang perbincangan tidak formal, perkongsian pandangan dan pengukuhan jaringan silaturahim dalam suasana mesra dan harmoni.

Program berakhir sekitar jam 11 malam dengan penuh makna, melambangkan penutup tahun 2025 yang sarat dengan semangat ukhuwah dan iltizam, serta azam baharu untuk melangkah ke tahun 2026 dengan lebih tersusun dan berdaya saing.