Kronologi drama politik Perlis

OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN

Drama politik yang berkisar kepada kontroversi MB Perlis ini bermula apabila Presiden Pas mengeluarkan kenyataan pada malam hari Krismas 2025 yang menyatakan bahawa tiga Adun Pas telah terhenti sebagai ahli Pas.

Lantaran itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan telah mengeluarkan satu kenyataan pada hari cuti krismas 25 Disember 2025 bahawa beliau telah menerima notis bertulis daripada Adun Beseri Haziq Asyraf Dun yang menyatakan berlaku kekosongan luar jangka. 

Speaker juga nyatakan bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Perlis telah dijalankan pada 19 Disemebr 2022 dan justeru tempoh 3 tahun usia DUN terakru pada 18/12/2025. 

Menurutnya lagi, mengikut Per. 55(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil jika usia DUN telah mencecah 3 tahun atau lebih.

Namun, Speaker berpendapat bahawa 3 kekosongan luar jangka itu telah menjejaskan majoriti di dalam DUN dan justeru 3 kekosongan itu perlu diisi semula. 

Speaker juga menyatakan hal tersebut akan diberitahu kepada SPR.

Lebih kurang jam 6 petang, 25 Disember 2025 tiba-tiba keluar laporan yang menyatakan MB Perlis, YB Shukri Ramli telah meletakkan jawatan atas faktor kesihatan. 

Walaupun diberitakan beliau dimasukkan ke IJN sebelum itu tetapi khabar beliau meletakkan jawatan secara tiba-tiba agak memeranjatkan. 

Selepas itu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibharim Tuan Man pula mengeluarkan satu kenyataan meminta Bersatu untuk mengambil tindakan ke atas 5 Adun Bersatu yang telah menghantar surat akuan kepada Istana. 

Ini juga berita mengejutkan kerana selama ini Pas bersikap tidak mencampuri urusan parti orang lain dan Pas juga marah apabila orang lain mencampuri urusan dalaman Pas. Sekarang Pas sendiri telah melanggar prinsip tersebut. 

Kenyataan Presiden Pas pada 26 Disember 2026 pula menyatakan bahawa Pas telah menghantar dua nama calon Menteri Besar yang baharu. 

Nampaknya di sini pelan asal Pas untuk mengadakan pilihan raya kecil telah terbantut apabila MB Perlis meletakkan jawatan. 

Kini, Pas terhegeh-hegeh pula menghantar nama untuk menjadi MB baharu dalam keadaan sudah tidak chukop jumelooh. 

Ini kerana Pas mempunyai 9 Adun tetapi apabila Pas menghentikan keahlian 3 orang Adunnya maka jumlah Adun Pas hanya berbaki 6 Adun. 

Bersatu pula mempunyai 5 Adun dan seorang Adun daripada PH. 

Maka, mungkinkah Pas terpaksa berlutut pula kepada Adun PH untuk meminta sokongan bagi mengelakkan Adun Bersatu dilantik untuk menjadi MB baharu. 

Selain itu, Presiden Pas juga menyatakan apa yang menyebabkan berlaku krisis MB Perlis ini adalah kerana isu projek dan isu rasuah. 

Hai!!! Hari itu bukan main Pas mengatakan bahawa negeri ditadbir Pas ini bebas rasuah. Hari ini mengaku pula ada kes rasuah. 

Apakah Presiden Pas ini menujukan hal tersebut kepada tiga Adun yang dipecat itu tidaklah kita ketahui. 

Namun, hakikatnya jika benar-benar berlaku rasuah dalam negeri pentadbiran Pas maka Pas tidaklah suci seperti yang didakwa oleh penyokong mereka. 

Satu perkara lagi, jika sedar ada rasuah maka akan menjadi satu kesalahan di bawah S. 25 Akta SPRM jika tidak dibuat laporan berlakunya cubaan rasuah.

Satu hal yang pelik adalah anak bekas MB Perlis yang juga menantu kepada Presiden Pas, Mohd Syafeeq Mohd Shukri,  kini telah didakwa atas pertuduhan membuat tuntutan palsu di bawah Akta SPRM berjumlah RM19,000 kepada pejabat SUK Perlis yang juga ada kaitan dengan Istana. 

Dakwaan rasuah oleh Presiden Pas itu ibaratnya adalah seperti kata bidalan ‘seperti ayam berkokok kuat (mencari kesalahan orang lain) tetapi ekor sendiri terpalit tahi’

Mufti Perlis, Dr MAZA pula telah membuat coretan di dalam Facebook memuji Raja Perlis dan Raja Muda Perlis. 

Dr MAZA langsung tidak memuji pimpinan Pas Perlis yang menjawat jawatan kerajaan. 

Beliau menjelaskan betapa Raja Muda Perlis tidak pernah terpalit dengan isu-isu kemewahan dan aktiviti Raja Muda Perlis sangat membumi di dalam masyarakat. 

Beliau juga menyatakan sering dijemput oleh Raja Perlis untuk bersantap bersama-sama. Katanya di akhir tulisan, 

“Atas keadaan ini, maka rakyat di Negeri Perlis ini tidak merasa apa sangat yang tergugat, selagi Istana Perlis masih berfungsi seperti biasa. Maka, pertukaran kerajaan atau ahli politik tidak sangat menggusarkan rakyat. Pun begitu kita semua mengindamkan kerajaan yang berkualiti dan benar-benar mampu membangunkan Negeri Perlis ini. Ia satu impian yang sudah lama. Sejak dahulu. Bayangkan, jika Istana yang bertanggungjawab seperti ini dibantu oleh kerajaan yang berwawasan, berwibawa dan berkualiti.” 

Maksudnya seolah-olah bayangan Dr MAZA sendiri adalah kerajaan negeri di bawah pimpinan MB Shukri Ramli adalah tidak berkualiti.

Nampaknya episod drama politik Perlis masih belum berakhir dan masih panjang lagi. Mungkin Presiden Pas tidak membuat tindakan yang matang ketika menghentikan keahlian 3 Adunnya.

Hendak diambil semula nanti akan dikatakan menjilat ludah sendiri.

Berikut isu-isu yang bakal timbul daripada rentetan drama politik Perlis:

1. Bilakah majlis angkat sumpah MB baharu?

2. Adakah MB baharu ini di kalangan Pas atau Bersatu?

3. Adakah Speaker baharu akan dilantik susulan pelantikan MB baharu?

4. Adakah Speaker baharu akan membatalkan perisytiharan pengosongan kerusi tiga Adun PAS itu?

5. Jika pengosongan kerusi itu tidak dibatalkan, adakah SPR akan menolak untuk membuat tiga PRK di Perlis?

6. Siapakah yang akan menjadi the biggest winner and the biggest loser daripada drama politik ciptaan Pas ini?

7. Adakah hubungan Pas-Bersatu di dalam wadah PN akan tetap utuh dan kekal atau ini adalah permulaan kepada konflik perceraian politik?

8. Adakah DAP bersalah dalam drama politik ini? [maaf lah DAP terpaksa pinjam nama sekejap]