ADUN Pas fitnah, Pemuda AMANAH Perak tepis dakwaan kerajaan negeri tindas ADUN Melayu
Pemuda AMANAH Perak mengecam sekeras-kerasnya dakwaan dilemparkan ADUN Kamunting dari Pas, Fakhrudin Abd Aziz, kononnya kerajaan negeri Perak menindas wakil rakyat Melayu apabila tidak memberikan peruntukan khas kepada 26 ADUN pembangkang.
Ketua Pemudanya, Khairol Najib Hashim berkata, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak benar, tetapi adalah fitnah untuk mencetuskan ketegangan kaum dan memburukkan reputasi Kerajaan Negeri Perak.
Hakikatnya kata beliau, kerajaan negeri Perak tidak pernah meminggirkan rakyat di kawasan pembangkang kerana peruntukan khas tetap disalurkan di DUN pembangkang, menggunakan mekanisme berbeza.
“Peruntukan khas disalurkan melalui mekanisme baru iaitu menerusi Pegawai Khas Menteri Besar Perak yang dilantik di setiap DUN pembangkang, bagi memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat secara telus dan berpaksikan dasar kerajaan.
“Pemberian secara terus kepada ADUN pembangkang sebelum ini telah disalahgunakan untuk kepentingan politik mereka sendiri.
“Mereka tidak mengiktiraf pun sumbangan kerajaan, malah terus menyerang, menghentam dan memfitnah kerajaan negeri secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan pagi ink.
Khairol Najib berkata, Menteri Besar Perak juga telah menjawab isu ini secara terperinci dalam Sidang DUN, namun masih ada pihak yang cuba memainkan semula sentimen perkauman, kononnya kerana semua ADUN pembangkang itu Melayu, maka kerajaan menindas orang Melayu.
Ujarnya, kenyataan ini sangat berbahaya dan berniat jahat kerana Perak dipimpin oleh seorang Menteri Besar Melayu Islam, dan didokong oleh majoriti ADUN Melayu.
“Isy ini bukan soal kaum, tetapi soal integriti dan ketelusan dalam pengagihan peruntukan. Naratif yang cuba dibawa oleh ADUN Kamunting adalah usaha terdesak untuk menanam persepsi buruk terhadap kerajaan yang sah dipilih rakyat.
“Pemuda AMANAH Perak menggesa agar semua pihak menghentikan politik kebencian dan perkauman. Rakyat tidak perlukan pemimpin yang gemar menghasut, tetapi pemimpin yang berani memperjuangkan kebenaran dan bekerja untuk semua,” tegasnya lagi.
BACA JUGA Kronologi drama politik Perlis