Mahiaddin tegaskan tiada arahan ADUN tanda tangan SD tarik sokongan MB Perlis
Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menegaskan tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada wakil rakyat parti itu untuk menandatangani akuan bersumpah untuk menarik balik sokongan kepada Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Beliau berkata, parti itu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis dari Bersatu selepas mendapat titah dari Istana Perlis untuk berbuat demikian
“Justeru, Bersatu akan mendengar penjelasan ADUN-ADUN Bersatu negeri Perlis untuk mengetahui kedudukan sebenar isu ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa Perikatan Nasional menghormati kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam pelantikan Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Tambah beliau, PN menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin Negeri Perlis dan berharap isu berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis akan dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar Perikatan Nasional.
“Saya yakin bahawa parti-parti anggota PN mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu yang berbangkit dengan berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran PN di Perlis,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, lima ahli Bersatu dan tiga ahli Pas telah menandatangani SD untuk menarik balik sokongan kepada Menteri Besar Perlis.
BACA JUGA SPRM boleh dah siasat isu projek di Perlis seperti didedah Hadi Awang