Pas ibarat bom jangka, pakatan demi pakatan berakhir konflik
AMANAH menyifatkan Pas sebagai bom jangka dalam mana-mana hubungan politik, berdasarkan rekod penyertaan parti itu dalam tujuh pakatan politik sejak 1973 hingga 2025 yang hampir kesemuanya gagal bertahan dan berakhir dengan konflik.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, kali ini adalah giliran Bersatu menjadi mangsa Pas yang mahu menjadi bos besar dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, selagi Pas berada dalam sesuatu pakatan, risiko perpecahan, ketidakstabilan dasar dan krisis kepercayaan sentiasa menghantui.
“Ini bukan soal persepsi, tetapi fakta yang berulang kali berlaku. Pas ibarat ‘kambing apabila didekati, pasti ada yang lari kerana baunya’.
“Tiada parti tunggal yang boleh mentadbir negara berdasarkan rekod 15 pilihanraya umum, maka peluang Pas untuk mentadbir negara sangat berisiko kerana ketidakstabilan yang boleh wujud apabila mentadbir kelak.
“Terbukti berlaku ketika mana Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menjadi Perdana Menteri sebelum ini, di mana ketika itu, UMNO yang dikhianati Pas kerana Pas memilih Bersatu (PN) dan bukannya UMNO (Muafakat Nasional),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Faiz berkata, Pas gagal memerintah dengan bersih seperti yang dituntut oleh Islam dan ianya diakui oleh Presiden Pas sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata bahawa krisis politik Perlis timbul apabila banyak projek besar tidak mengikut peraturan dan terlibat dengan rasuah.
Seharusnya kata Faiz, Presiden Pas yang mengetahui tentang jenayah rasuah tersebut membuat laporan kepada SPRM, yang mana gagal boleh menjadi suatu kesalahan di bawah seksyen 25 Akta SPRM 2009.
“Pengurusan yang cacamerba dan berkecamuk, di samping prestasi ekonomi yang buruk di negeri-negeri SG4, membuktikan Pas-PN tidak berkemampuan mengemudi tampuk pemerintahan negara.
“Ini adalah kerana, data Jabatan Perangkaan membuktikan negeri-negeri SG4, terutamanya Kelantan dan Perlis, menduduki tangga tercorot dalam ranking upah median sektor formal.
“Pas terus membuktikan mereka tidak mampu memberikan suatu pemerintahan yang stabil, berkualiti dan berdaya maju, serta pro masyarakat Malaysia,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Mahiaddin tegaskan tiada arahan ADUN tanda tangan SD tarik sokongan MB Perlis