Album “Jiwang Karat” dilancar, 25 artis angkat nilai nostalgia dan jiwa seni tempatan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian “Jiwang Karat” oleh YB Anfaal Saari ADUN Taman Templer merangkap EXCO Selangor bersama Kompilasi Artis, Sebuah Naskhah Jiwa dan Nostalgia Anugerah Camp@ Taman Rimba Templer, Rawang Selangor. 27hb Disember 2025 (Sabtu)

Industri muzik tanah air bakal menyaksikan satu detik bermakna menerusi Majlis Perasmian Pelancaran Album “Jiwang Karat Vol. 1”, yang akan disempurnakan oleh YB Anfaal Saari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor, di Anugerah Camp, Taman Rimba Templer, Rawang.

Album terbitan FGI Entertainment ini menampilkan konsep unik yang menghimpunkan 25 orang artis tempatan daripada pelbagai latar belakang dan generasi, sekali gus membentuk sebuah naskhah muzik yang sarat dengan jiwa, emosi dan nostalgia.

Dalam ucapan perasmian, YB Anfaal Saari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur serta seluruh kompilasi artis yang terlibat dalam penghasilan album Jiwang Karat, yang disifatkan sebagai sebuah naskhah penuh jiwa, emosi dan nostalgia, khususnya buat pencinta muzik balada dan jiwang tanah air.

Menurut beliau, album Jiwang Karat Vol. 1 bukan sekadar karya hiburan semata-mata, malah berperanan sebagai medium merakam memori, perasaan serta perjalanan seni yang menyatukan generasi lama dan baharu melalui bahasa muzik.

“Karya-karya seperti ini membuktikan bahawa muzik mempunyai kekuatan untuk menyentuh hati, merentas usia dan latar belakang. Jiwang Karat membawa kita kembali menghayati nilai rasa, kejujuran emosi dan keindahan lirik yang semakin jarang ditemui,” ujar beliau.

YB Anfaal Saari turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam menyokong industri kreatif dan seni budaya tempatan, termasuk memberi ruang kepada penggiat seni untuk terus berkarya dan menampilkan bakat mereka di peringkat yang lebih luas.

“Selangor sentiasa mengalu-alukan inisiatif seni dan budaya yang mampu menyuburkan ekosistem kreatif, sekali gus menjana ekonomi setempat dan memperkukuh identiti budaya masyarakat,” tambah beliau.

Beliau juga berharap agar album Jiwang Karat Vol. 1 mendapat sambutan positif daripada masyarakat serta menjadi pemangkin kepada penerbitan karya-karya berkualiti pada masa akan datang.

Majlis perasmian tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran para artis terlibat, penggiat seni, peminat muzik serta komuniti setempat yang bersama-sama menyaksikan pelancaran rasmi album berkenaan dalam suasana santai dan penuh keakraban berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi Taman Rimba Templer.

Menurut Fauzi Aisunam, album ini dihasilkan sebagai satu penghargaan kepada peminat muzik jiwang yang setia, di samping membuka ruang kepada bakat baharu untuk memperkenalkan karya mereka kepada generasi masa kini.

“Kami mahu genre lagu-lagu jiwang ini terus hidup dan diberi nafas baharu melalui gabungan artis berpengalaman serta bakat muda yang berbakat besar,” katanya.

Selari dengan perkembangan industri muzik semasa, album “Jiwang Karat Vol. 1” turut akan diedarkan melalui platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube, sekali gus memastikan karya-karya ini dapat dinikmati oleh pendengar dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

Senarai 25 artis dan lagu yang terlibat ialah Fauzi Aisunam -Tak Tinggal Kamu, Ajak Mellesa -Janji Mu, Kazar – Bayangan Bertamu, Mizie -Terang Dalam Sepi, Syed – Hanya Tingga Memori, Hiem Black – Bukan Salah Hati, Qal Nizam – satu Nama, Mie RX-Setia Menanti, Haizad – Derita Cinta, Nizan Zainalv- Sayangku Kejamnya, Dzamier Azizle – Hanya Tinggal Kenangan, Yazan – Tak Ingin Bercinta Lagi, Azri Pro – Memori Cinta, Zacx Firesteel – Permata Hati, Sham Crossover – Menanti Abadi, Ipin Otto – Dusta Cinta, Afiq Atan-Garisan Takdir, Syukri – Andai Ku Mampu, Rem – Di Pusara Cinta, Afee Ramly – Bayangmu DiHati, Danny Haiqal – Dewala Cinta. Arms – Cinta Dan Kenangan, Hadry – Cinta Suciku, Nurie Lana – Tak Mungkin Kemarau Hatiku dan Bob Azizon – Keikhlasanmu