Dewan Ulama Pas kata 3 Adun Perlis yang dipecat tidak khianati parti

Dewan Ulama Pas Perlis akhirnya tampil bersuara mempertahankan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang digugurkan keahlian ekoran tindakan menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Sayap ulama parti dikepalai Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menyifatkan tiga ADUN terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) tidak mengkhianati parti.

Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil berkata, kesemua pemimpin berkenaan termasuk Mohd. Shukri sendiri adalah mereka yang cukup setia di dalam perjuangan Pas.

Menurutnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Datuk Seri Shahidan Kassim juga tidak terlibat dalam kemelut tersebut.

“Saya kenal Cikgu Shukri (Mohd. Shukri). Saya juga kenal YB (Yang Berhormat) Saad Seman (Chuping), Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong). Mereka semua rakan-rakan ini setia dalam Pas.

“Tiada siapa dari mereka yang mengkhianati parti, hanya ada pihak gagal memainkan peranan sepatutnya sebelum ini menjadi kemelut seperti sekarang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Malam Krismas lalu, Pas mengumumkan pengguguran keahlian ketiga-tiga ADUN terbabit berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan tindakan tiga ADUN Pas itu bersama lima yang lain dari Bersatu yang didakwa menyerahkan akuan bersumpah (SD) menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Kemelut menyelubungi Perikatan Nasional (PN) di negeri yang dikuasainya itu berlanjutan apabila Mohd. Shukri kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar.

BACA JUGA Kestabilan dasar, keberanian reformasi pacu kejayaan kerajaan Madani