Krisis politik Perlis bukti Pas hanya peralat Islam, gagal urus kuasa dengan adab

Oleh DR SHAHNOR BASRI

Krisis politik Perlis hari ini tidak boleh lagi dibaca sebagai episod biasa pertukaran kepimpinan negeri.

Ia telah berkembang menjadi potret jelas bagaimana sebuah parti yang mendakwa dirinya berteraskan Islam gagal mengurus kuasa dengan adab.

Pas terbukti gagal memikul tanggungjawab dengan amanah, dan lebih parah gagal membezakan antara agama sebagai panduan dan agama sebagai senjata politik.

Sahibus Samahah Mufti Perlis, dalam podcast Realiti Politik: Antara Agama dan Kuasa, telah mengingatkan bahawa kekuasaan tanpa disiplin ilmu dan adab akan merosakkan agama itu sendiri.

Peringatan ini menjadi semakin relevan apabila naratif rasmi peletakan jawatan bekas Menteri Besar Perlis atas faktor kesihatan bercanggah secara terang-terangan dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa wujud campur tangan dan kelulusan projek tidak mengikut peraturan.

Di sinilah bermulanya kegagalan politik Pas yang paling ketara: ketidakselarasan dalaman yang ditutup dengan retorik agama.

Tidak diperbetulkan

Jika benar wujud salah guna kuasa dan pelanggaran tatakelola, maka persoalan paling asas ialah: Mengapa perkara itu tidak diperbetulkan ketika Pas memegang kuasa?

Mengapa seorang Menteri Besar Pas memilih jalan keluar paling mudah — berundur — sedangkan fiqh siyasah menuntut pemimpin memperbaiki kerosakan, bukan melarikan diri daripadanya?

Dalam tradisi fiqh siyasah, prinsip mas’uliyyah (tanggungjawab) dan amanah al-sulthah (amanah kekuasaan) menegaskan bahawa jawatan adalah beban, bukan perlindungan.

Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menekankan bahawa pemerintah wajib menjaga agama dan mengurus dunia dengan keadilan, bukan sekadar melepaskan jawatan apabila tekanan meningkat.

Justeru, peletakan jawatan tanpa proses pembetulan bukanlah simbol integriti, tetapi petanda kegagalan memikul amanah.

Lebih membimbangkan, ini bukan kali pertama Presiden Pas mengeluarkan kenyataan bersifat umum, longgar dan tidak disokong data — kenyataan yang sering disifatkan oleh pengkritik sebagai “retorik slip-disc”: kuat pada nada, lemah pada fakta.

Corak ini berulang: tuduhan dilontarkan, persepsi dibina, tetapi bukti tidak pernah dikemukakan secara bertanggungjawab.

Jadi fitnah

Dalam fiqh siyasah, tuduhan tanpa bayyinah bukan sahaja tidak bernilai, malah berpotensi menjadi fitnah terhadap institusi negara.

Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kelulusan projek utama negeri melibatkan proses eksekutif— termasuk peranan pentadbiran negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Tuanku Raja adalah payung negeri dan kedaulatan. Apabila seseorang tokoh politik menyatakan wujud “campur tangan” dan “kelulusan tidak mengikut peraturan” tanpa fakta terbuka, ia secara halus menanam curiga terhadap keseluruhan sistem, termasuk institusi istana.

Ini bukan isu kecil. Ia menyentuh asas kestabilan negeri dan kepercayaan rakyat terhadap Raja sebagai simbol keadilan dan keluhuran undang-undang.

Sindiran paling pahit terhadap kepimpinan Pas ialah hakikat bahawa mereka sering melaungkan slogan “Islam memerintah”, tetapi apabila Islam menuntut bukti, proses dan tanggungjawab, mereka memilih jalan pintas politik.

Jika Abdul Hadi benar-benar memiliki fakta dan data mengenai salah laku projek di Perlis, maka menurut prinsip sadd al-zara’i (menutup pintu kerosakan), beliau wajib membawa perkara itu kepada pihak berwajib — SPRM, audit atau mahkamah — bukan melontarkannya di medan akhbar, seolah-olah persepsi awam sudah memadai menggantikan proses keadilan.

Di sinilah sindiran terhadap Pas menjadi semakin telanjang: apabila tidak berkuasa, mereka bercakap tentang hukum; apabila berkuasa, mereka lupa tentang hukum.

Fiqh siyasah tidak pernah mengajar bahawa akhbar dan ceramah politik adalah mahkamah.

Sebaliknya, Islam mewajibkan ithbat (pembuktian), tahqiq (siasatan) dan hisbah (pengawasan berinstitusi).

Tanpa semua ini, kenyataan politik hanyalah retorik kosong yang menjejaskan kepercayaan rakyat.

Akhirnya, krisis Perlis ini mendedahkan hakikat yang sukar disangkal: Pas bukan sedang mempertahankan Islam, tetapi memperalatkan Islam untuk menutup kelemahan kepimpinan sendiri.

Agama dijadikan perisai apabila gagal mentadbir, dan dijadikan peluru apabila mahu menekan pihak lain.

Ini bukan fiqh siyasah; ini adalah oportunisme politik berselindung jubah agama.

Rakyat Perlis dan Malaysia wajar bertanya dengan jujur: Jika inilah cara Pas mengurus kuasa di sebuah negeri kecil, apakah jaminannya mereka mampu memelihara negara yang jauh lebih kompleks?

Islam tidak pernah takut kepada kebenaran, tetapi politik tanpa amanah sentiasa takut kepada proses.

Dan di situlah Pas hari ini — kuat pada slogan, lemah pada tanggungjawab.

*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.

BACA JUGA Lagi Bersatu disindir, Pas bertegas pengkhianat tidak boleh dibiar