Pas beri isyarat perpecahan dalam PN

Pas dilihat memberi isyarat berlakunya perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN) susulan pelantikan Menteri Besar Perlis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata demikian menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

“Apakah retak menanti belah,” kata bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.

Selain itu, Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad secara menyindir berkata, parti tersebut sudah mengenali sifat sebenar ‘mereka’ yang dilihat merujuk kepada Bersatu.

“Saya tidak berasa sedih, sebaliknya bersyukur kerana kini kita mengetahui warna sebenar mereka.

“Pengkhianatan tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman,” kata bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor dengan portfolio yang berkaitan perumahan dan pembangunan bandar itu.

Malah, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan isu ‘kawan makan kawan’.

“Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang dipercayai turut merujuk kepada Bersatu.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada masa ini menyaksikan tiga kerusi Pas yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah kosong ekoran hilang keahlian parti.

Ini menjadikan Pas kini berbaki enam kerusi manakala Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing kekal menguasai lima dan satu kerusi DUN.

Pas seolah-olah mengaibkan diri sendiri kerana gagal menangani krisis dalaman parti, sehingga memberi ruang kepada Bersatu untuk merampas jawatan Menteri Besar Perlis.

Hari ini, ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Pelantikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis itu sekaligus menjadikan beliau sebagai Menteri Besar pertama di Perlis dari parti tersebut sejak menganggotai blok PN.

Timbalan Pengerusi PN Perlis berkenaan menggantikan ADUN Pas Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Menteri Besar pada 25 Disember lalu.

BACA JUGA Krisis politik Perlis bukti Pas hanya peralat Islam, gagal urus kuasa dengan adab