Pimpinan Pas Pusat desak parti beri pelajaran bermakna kepada Bersatu

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah menegaskan bahawa krisis Perlis wajar mendorong kepemimpinan tertinggi parti itu untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama Bersatu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berkata, tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN Pas di Perlis menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga membawa kepada pertukaran Menteri Besar amat mendukacitakan.

“Sepatutnya mereka membantu MB sebaiknya untuk memajukan Perlis. Malangnya mereka memilih untuk berkomplot dan menjatuhkannya,” kata Haim di Facebook.

Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, pendekatan kepimpinan tertinggi Bersatu membenarkan rampasan kuasa berlaku boleh ditafsir bahawa mereka juga sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan Pas.

Sehubungan itu, katanya lagi, adalah amat wajar untuk Pas memberi “pelajaran bermakna” kepada Bersatu.

BACA JUGA Kawan makan kawan: Masalah kawan atau masalah Pas?