Festival Raya 96 jam tanpa henti & paling havoc bakal gegarkan Setia Alam

FOTO BERITA: FB Live… Majlis Pelancaran Selangor Havoc Raya Fest 2026 &:Sidang Media bersama YB Tuan Mohd Najwan Halimi EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor di Tempat : Setia City Convention Centre, Setia Alam, Selangor. 29hb Disember 2025 (Isnin)

Penganjuran Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan usahawan tempatan serta memperkasa ekonomi komuniti. Majlis ini turut dirasmikan oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor.

Exco Belia dan Keusahawanan Selangor, YB Najwan Halimi, dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur Havoc atas kesediaan berterusan untuk berkolaborasi dengan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor dalam menjayakan festival berskala besar itu buat edisi kedua.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Havoc telah bermula sejak tahun 2024, bermula dengan penganjuran Selangor Food Festival 2024 yang turut berlangsung di Setia Alam, sebelum diteruskan dengan penganjuran pertama Selangor Havoc Raya Fest 2025 pada bulan Ramadan lalu. ā€œKesinambungan kejayaan program-program terdahulu serta sokongan padu rakyat Negeri Selangor telah mendorong YAB Dato’ Menteri Besar Selangor mencadangkan agar penganjuran Selangor Havoc Raya Fest diteruskan untuk edisi 2026,ā€ katanya.

YB Najwan turut menyatakan keyakinan bahawa persiapan penganjuran bagi edisi 2026 kali ini adalah jauh lebih rapi dan tersusun berbanding edisi lalu, yang ketika itu hanya mempunyai tempoh persediaan sekitar sebulan. ā€œUntuk edisi kali ini, saya melihat pihak Havoc membuat persiapan lebih awal, lebih terancang dan mengambil kira penambahbaikan terhadap beberapa kelemahan sebelum ini. Insya-Allah, penganjuran kali ini akan menjadi lebih mantap,ā€ jelas beliau.

Tambahnya lagi, Selangor Havoc Raya Fest 2026 bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri, malah menyediakan platform kepada pengguna untuk mendapatkan produk-produk istimewa dan berkualiti, khususnya bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Beliau turut memaklumkan bahawa pengumuman terperinci mengenai penganjuran festival tersebut akan dibuat dalam sidang media akan datang, dengan pelancaran kali ini bertindak sebagai pengenalan awal kepada masyarakat. Mengakhiri ucapan, YB Najwan merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Unit Perancang Negeri (UPN) serta pihak Havoc yang terus komited bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor. ā€œMudah-mudahan segala perancangan dan pelaksanaan program ini dipermudahkan serta diberkati oleh Allah SWT,ā€ katanya.

Festival berskala besar ini dianjurkan oleh Havoc Event & Management Sdn. Bhd., sebuah syarikat penganjur tempatan yang berpengalaman luas dalam penganjuran karnival dan festival mega di seluruh Malaysia serta Brunei. Mengangkat tema ā€œHavoc-nya Raya di Kampungā€, festival ini menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi mewujudkan suasana Aidilfitri yang penuh nostalgia, meriah serta mesra keluarga. Dengan penyertaan lebih 200 vendor, pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk jualan persiapan Raya, bazar berbuka puasa, happy hour sale serta aktiviti interaktif untuk semua lapisan masyarakat.

Selain itu, festival ini turut dimeriahkan dengan persembahan pentas, kehadiran artis dan pempengaruh popular, aktiviti khas kanak-kanak, serta pengisian kerohanian seperti majlis berbuka puasa, solat tarawih dan sahur beramai-ramai.

Pihak penganjur juga menyediakan Cabutan Bertuah untuk pengunjung yang berbelanja di festival ini dengan peluang memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta, selain pelbagai hadiah menarik lain sepanjang penganjuran.

Sebagai tarikan utama, penganjur dengan sukacitanya mengumumkan barisan pengacara rasmi Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 yang terdiri daripada pelawak terkenal tanah air iaitu Fad Bocey, Sharif Zero, Danial Zaini, serta gandingan Epul dan Talam. Kehadiran barisan pengacara popular ini dijangka mampu menambah kemeriahan serta menceriakan pengalaman pengunjung sepanjang festival berlangsung.

Menurut Dato’ Muhammad Firdaus Nadxaman dan Faizul Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Havoc Event & Management Sdn. Bhd., penganjuran Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 bertujuan menyediakan sebuah platform berimpak tinggi yang bukan sahaja merancakkan sambutan Aidilfitri, malah memperkasa usahawan tempatan, mengukuhkan jaringan perniagaan serta mewujudkan ekosistem acara yang menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti secara mampan.

Beliau turut menegaskan bahawa festival ini dirancang sebagai sebuah acara inklusif yang menghimpunkan elemen hiburan, keagamaan, kekeluargaan dan keusahawanan dalam satu pengalaman Raya yang lengkap dan bermakna.

Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 bukan sahaja berperanan sebagai destinasi membeli-belah menjelang Aidilfitri, malah menjadi platform penting dalam menyokong usahawan tempatan, memperkukuh semangat komuniti serta merancakkan ekonomi setempat.

Terdahulu, Sidang Media dan Majlis Pelancaran Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 telah diadakan pada 29 Disember 2025 di Setia City Convention Centre, Setia Alam, sekali gus menjadi pembuka tirai kepada festival yang dinanti-nantikan ini. Orang ramai dijemput hadir dan bersama-sama memeriahkan Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 bagi menikmati pengalaman Raya yang lebih meriah, bermakna dan luar biasa.