Mahiaddin letak jawatan, Pas alu-alukan
Ketua Penerangan Pas Fadhli Shaari menyambut baik keputusan peletakan jawatan pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin hari ini.
Beliau menyifatkannya sebagai tindakan bijak dan tepat.
“Tan Sri Mahiaddin Yasin telah menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari 2026. Satu tindakan yang bijak dan tepat oleh Tan Sri dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang PRU16.”
Mahiaddin telah mengumumkan peletakan jawatan dalam PN. Susulan itu, setiausaha agung PN Datuk Seri Azmin Ali turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha agung PN dan ketua pembangkang.
Rentetan itu pengerusi PN Johor Dr Sahruddin Jamal turut meletakkan jawatannya.
Fadhli turut berkata bahawa Pas akan menampilkan calon untuk menerajui PN.
Beliau turut memberi bayangan jawatan tersebut tidak akan diambil alih oleh presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Saya yakin Pas akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui Perikatan Nasional sebagai Pengerusi yang baru. Tidak semestinya presiden parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah Perikatan Nasional.
“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi Perikatan Nasional bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini,” kata beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas
Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden pula menganggap tindakan Mahiaddin sebagai ‘berjiwa besar’.
“Kami anggap ini satu tindakan yang berjiwa besar dan sangat dihormati. Segala jasa dan khidmat bakti Tan Sri selama memimpin PN dan Malaysia sebelum ini tetap akan dikenang dan diingati,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu.
“Saya memohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan Tan Sri rasa tidak senang atau tersinggung. Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal.
“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi.”
BACA JUGA: Sah Mahiaddin umum letak jawatan