Pas tawar diri dan sedia untuk terajui Perikatan Nasional
Setiausaha agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengumumkan kesediaan partinya untuk menerajui pakatan pembangkang – Perikatan Nasional (PN).
“Pas juga dengan ini menawarkan kesediaannya untuk menerajui Perikatan nasional bagi tujuan memperkasakan organisasi dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri dan pilihanraya umum ke-16,” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Takiyuddin berkata demikian ekoran pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai pengerusi PN yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari.
Dalam perkembangan berkaitan setiausaha agung PN Datuk Seri Azmin Ali turut meletakkan jawatannya. Dia turut meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang DUN Selangor.
Di Johor, pengerusi PN Johor Dr Saharuddin Jamal turut membuat tindakan sama.
Takiyuddin turut mengumumkan bahawa semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Perlis dari Pas akan melepaskan jawatan mereka susulan krisis politik di negeri tersebut.
“Pas tidak akan menganggotai Exco yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu dan semua anggota Exco sedia ada daripada Pas akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidarity dan seiring dengan peletakan jawatan mantan Menteri Besar yang lepas,” kata Takiyuddin.
Pergolakan politik Perlis menyaksikan lapan Adun (lima Bersatu, tiga Pas) menarik balik sokongan kepada Menteri Besar ketika itu Shukri Ramli.
Shukri meletakkan jawatan pada 25 Disember.
Susulan itu Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah telah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu.
BACA JUGA: Negeri Pas, Menteri Besar Perlis dari Bersatu