Jangan sombong Pas, Islam bukan milik Pas sahaja, kata AMANAH
Setiausaha agung AMANAH Faiz Fadzil mengingatkan Pas agar tidak sombong dan bicara agama adalah luas dan tidak menjadi milik Pas semata-mata.
“Serangan terhadap Mufti Perlis ini bukan dibuat atas prinsip Islam, kerana Islam memerintahkan umatnya untuk mengkaji kebenaran sesuatu maklumat (tabayyun) sesuai dengan firman Allah surah al-Hujarat ayat 6. Tetapi, serangan tersebut bertitik tolak daripada emosi ahli yang taksub kepada pemimpin kerana yang dipersoalkan itu datang dari mulut Presiden Pas, walaupun tabayyun itu juga urusan agama.
“Pas tidak harus berlagak sombong dengan berpendirian bahawa bicara atau perjuangan Islam ini hanya milik Pas. Sesungguhnya bicara agama dan perjuangan Islam itu luas dan tidak hanya terhad milik PAS sahaja.
“Apatah lagi, sistem pentadbiran negara ini meletakkan kuasa agama Islam kepada negeri (Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan) yang mana semua 14 negeri di Malaysia ini menubuhkan Jabatan Mufti untuk memberikan nasihat dan pandangan berkaitan hukum Islam.
Faiz telah tampil ke hadapan mempertahankan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana Asri mencabar Pas menunjukkan bukti projek yang dikaitkan dengan rasuah.
Ini kerana presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mendakwa bahawa Menteri Besar terdahulu Shukri Ramli terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak mahu menerima rasuah daripada projek yang telah diluluskan di negeri tersebut.
“Pertelingkahan yang berlaku antara Mufti dan Pas ini menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati sistem pentadbiran dan sentiasa menganggap suci (holier than thou) sedangkan Allah menyuruh kita untuk taat kepada Allah, Rasul dan pemerintah (suruh An-Nisa:59). Jika perkara semudah inipun Pas tidak boleh faham, Pas memang tidak sesuai untuk menjadi pentadbir, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.”
Faiz turut menerangkan kerelevanan persoalan yang ditanyakan oleh Asri dan berkata dakwaan Hadi itu boleh dianggap sebagai fitnah dari sudut undang-undang
“Oleh kerana tuduhan projek dikaitkan dengan rasuah berlaku ketika mantan MB Perlis itu menjawat jawatan MB, maka ia berkaitan kerja rasmi beliau yang mana Jabatan Mufti adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan Negeri Perlis.
“Justeru, dari sudut disiplin pentadbiran kerajaan negeri, Mufti yang merupakan ketua di Jabatan Mufti berhak untuk bertanyakan tentang bukti yang ada untuk menyokong dakwaan yang dibuat.
“Dari sudut prinsip undang-undang, tuduhan yang dibuat tanpa bukti adalah tuduhan liar semata-mata dan boleh membawa kepada fitnah.
“Sebagai parti yang berimejkan Islam, seharusnya PAS mengelak daripada terlibat dengan unsur-unsur fitnah dalam bicara mereka.”
BACA JUGA: Takiyuddin mohon maaf buat hantaran fitnah, Mujahid setuju selesai kes saman