Jadikan ia tauladan, bukan cercaan dan cacian, ingatan untuk AMANAH
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan anggota partinya agar menjadikan keputusan mahkamah terhadap mantan perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tauladan dan ingatan.
“Sebagai Presiden parti yang akan berakhir tempoh jawatan apabila pemilihan berlangsung dalam konvensyen, saya ingin mengingatkan bahawa AMANAH sebenarnya lebih sukar diuji ketika memerintah berbanding ketika menjadi pembangkang.
“Godaan kuasa, harta, pangkat dan darjat jauh lebih kuat apabila kita berada dalam kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
“Oleh itu, kita melihat apa yang sedang dilalui oleh parti rakan kita, UMNO, yang kini berusaha melakukan pemulihan. Jadikanlah ia sebagai tauladan, bukan bahan cercaan.
“Usahlah kita menambah kutukan dan sindiran, kerana jika kita gagal menjaga disiplin, integriti dan amanah, kita juga tidak terkecuali daripada menerima nasib yang sama.
“Akhirnya, dalam kita menyaksikan pergolakan parti-parti lain, tanggungjawab kita ialah membina kekuatan dalaman, memperkukuh perpaduan dalam AMANAH, serta mengukuhkan kerjasama dan kepercayaan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan—demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.”
Najib yang sedang menjalani hukuman penjara berhubung kes SRC International telah didapati bersalah dalam kes 1MDB dan dihukum 15 tahun penjara. Hukuman ini bermula selepas hukuman kes SRC dilunaskan.
Mohamad berkata penyakit wang yang dialami oleh Umno boleh menular kepada mana-mana parti yang menjadi kerajaan.
“Penyakit parti pemerintah ini bukan milik UMNO semata-mata. Ia boleh menular kepada mana-mana parti yang memerintah, termasuk AMANAH.
“Parti kita ditubuhkan pada tahun 2015 dengan membawa perjuangan Islam Rahmatan lil ‘Alamin. Namun apabila kita berada dalam kerajaan, unsur-unsur sebagai parti pemerintah mula dirasai—keinginan untuk menjadi calon, tuntutan jawatan, desakan mendapatkan tempat dalam GLC dan GLIC, serta harapan agar parti membiayai pelbagai program dan kegiatan.
“Akhirnya, pemimpin parti terpaksa berempas pulas mencari sumber kewangan untuk memastikan parti terus berjalan. Inilah amaran kepada kita semua.
“Jangan kita menambah luka dengan mengutuk atau menghina parti sahabat dalam kerajaan perpaduan yang sedang berdepan ujian kewangan dan penstrukturan semula.
“Jika kita sebagai parti pemerintah gagal mengurus kewangan, gagal mengawal perebutan jawatan dan kedudukan, tidak mustahil kita akan mengalami keadaan yang lebih parah daripada parti-parti yang telah lama memerintah sebelum ini.”
BACA JUGA: Jangan sombong Pas, Islam bukan milik Pas sahaja, kata AMANAH