Guna Somaliland usir rakyat Palestin: Ini pendirian Malaysia

Malaysia menolak pengiktirafan Israel ke atas Somaliland, sekali gus membantah sebarang cubaan menggunakan wilayah itu untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mengambil pendirian sama dengan sekumpulan besar negara lain serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menolak tindakan Israel itu.

“Kami menyatakan bantahan tegas terhadap sebarang usaha menggunakan Somaliland atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan secara paksa atau pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

“Cadangan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, serta hanya akan berterusan mengekalkan ketidakadilan dan bukannya menyumbang kepada keamanan.

“Kita menolak segala tindakan yang menjejaskan undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Pada 26 Disember lalu, Israel menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pertama mengiktiraf Somaliland secara rasmi sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Republik Somaliland di barat laut Somalia mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral sejak 1991.

Walau bagaimanapun, ia tidak pernah diiktiraf secara meluas oleh masyarakat antarabangsa.

BACA JUGA Jadikan ia tauladan, bukan cercaan dan cacian, ingatan untuk AMANAH