Muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, tiada unsur khianat
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan muafakat dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kekal mantap dan ikhlas tanpa sebarang usaha sabotaj atau khianat.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, keadaan tersebut berbeza dengan situasi yang sedang melanda beberapa blok politik lain yang kini berdepan pergolakan dalaman dan krisis kepimpinan.
“Saya bersyukur. Alhamdulillah kerana muafakat Kerajaan Perpaduan MADANI itu lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj atau khianat seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan lain,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya semalam.
Terdahulu, kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) bertambah kusut apabila beberapa pemimpin utama gabungan pembangkang itu mengumumkan peletakan jawatan masing-masing.
Awalnya, Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Mahiaddin yang mempunyai menantu berdepan beberapa dakwaan, termasuk jenayah pecah amanah (CBT) itu sudah kira-kira lima tahun menerajui PN sejak didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020.
Susulan itu, beberapa pemimpin Bersatu turut mengumumkan peletakan jawatan.
Antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal selaku Pengerusi PN Johor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) serta Mohamad Hanifah Abu Baker, Pengerusi PN Negeri Sembilan.
BACA JUGA Guna Somaliland usir rakyat Palestin: Ini pendirian Malaysia