Tahun 2025 jadi saksi perkembangan pesat projek rel negara

Tahun 2025 mencatat satu fasa penting dalam pembangunan infrastruktur rel negara apabila beberapa projek utama mula menampakkan hasil yang ketara.

Perkembangan ini bukan sahaja memperkukuh sistem pengangkutan awam, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan mobiliti rakyat di seluruh negara.

Ini bukti Kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang.

Antara pencapaian paling signifikan ialah siapnya projek landasan berkembar elektrik Gemas–Johor Bahru yang melibatkan jajaran sepanjang 182 kilometer.

Projek bernilai RM8.9 bilion itu kini memasuki fasa penyerahan kepada kerajaan selepas ujian operasi dijalankan secara berperingkat sejak Mac, sekali gus melengkapkan rangkaian rel elektrik dari Padang Besar hingga ke selatan tanah air.

Dalam masa sama, projek LRT3 juga berada di peringkat akhir ujian keselamatan dan kebolehpercayaan menjelang operasi penuh, dengan kos disemak semula kepada RM21.93 bilion, masih lebih rendah berbanding peruntukan asal.

Perkembangan ini membuktikan keupayaan kerajaan mengurus projek besar secara lebih berhemah dan berfokus kepada keberhasilan.

Mencatat kemajuan

Bagi projek yang bakal beroperasi, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila mencapai lebih 88% siap setakat November 2025.

Projek ini dijangka menjadi tulang belakang pengangkutan antara Pantai Timur dan Pantai Barat, selain membuka potensi hubungan rentas sempadan apabila Thailand menyatakan minat menghubungkannya ke Sungai Golok.

Di peringkat negeri pula, Johor merancang sistem rel domestik bagi menyokong aliran penumpang susulan pembukaan RTS Johor Bahru–Singapura, manakala Pulau Pinang meneruskan projek LRT Laluan Mutiara yang disasarkan siap pada 2031.

Dalam masa yang sama, tumpuan turut diberikan kepada perancangan jangka panjang menerusi kajian kebolehlaksanaan Kereta Api Trans-Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.

Usaha ini seiring dengan kemajuan Lebuhraya Pan Borneo yang hampir siap sepenuhnya di Sarawak serta terus dipercepatkan di Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pengangkutan bukan sekadar prasarana fizikal, tetapi nadi kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang lebih seimbang, satu lagi bukti jelas hala tuju Kerajaan MADANI yang menekankan kemajuan menyeluruh dan inklusif.

BACA JUGA Hari Wilayah Persekutuan, Thaipusam diwartakan cuti am 2026