Mari pastikan kemakmuran dirasai setiap rakyat, arah PM
Perdana Menteri mengajak semua rakyat supaya bersatu dan tekad menjayakan Malaysia MADANI yang lebih adil, makmur serta berdaya tahan.
Menerusi perutusan tahun baharu 2026 yang dikongsikan di media sosial, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI akan terus bekerja dengan amanah, keberanian, ihsan serta beriltizam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Marilah kita bergerak sederap, menyatukan langkah dan tekad, untuk menjayakan Malaysia MADANI yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan demi mengangkat martabat negara ke tahap yang lebih tinggi serta memastikan kemakmuran yang inklusif untuk rakyat keseluruhannya,” kata beliau.

Menurutnya, tanggungjawab dengan penuh kejujuran adalah demi memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjamin masa depan negara yang lebih sejahtera.
“Kita melangkah ke tahun baharu dengan semangat kebersamaan yang utuh dan tekad yang jitu untuk terus memperkukuh perpaduan.
“Kita juga akan memaknai reformasi secara berterusan serta memastikan kemakmuran negara dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat Malaysia,” kata beliau.
Dalam masa sama, beliau turut berharap semoga tahun 2026 ini menjadi tahun yang lebih cemerlang serta bermakna buat kita seluruh rakyat Malaysia.
“Saya dan (isteri, Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) mendoakan supaya negara tercinta ini terus kekal aman, harmoni dan makmur,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Gelar anjing khadam syaitan dibimbangi tanda kegelinciran alim