Gaza jadi ‘makmal kematian’, hipokrasi Barat terbongkar

Tahun 2026 dilihat bermula dengan bayangan yang amat gelap apabila dunia terus dihantui pergolakan, peperangan dan krisis kemanusiaan yang semakin parah, kata Pengarah Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Menurut beliau, konflik yang berlarutan di Timur Tengah, Afrika dan Eropah, termasuk perang Ukraine serta pendirian ekonomi dan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang agresif dan kontroversial, telah melukiskan masa depan global yang suram serta meresahkan.

“Dari Timur Tengah, Afrika, Eropah hingga ke benua Amerika, pergolakan dan potensi berlakunya lebih banyak peperangan melukiskan gambaran dunia yang sangat meresahkan—hasil ketamakan, keangkuhan dan sikap tidak peduli manusia yang telah membawa banyak penderitaan kepada kita,” katanya.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu menegaskan, tragedi paling lama dan paling kejam yang mencerminkan ketidakadilan dunia ialah konflik di Gaza, apabila tentera Israel yang jauh lebih kuat dan disokong AS serta negara-negara Barat berdepan rakyat Palestin yang miskin dan tertindas.

Beliau berkata, sejarah pasti akan merekodkan penderitaan rakyat Palestin sebagai antara tragedi etnik paling dahsyat, berlaku pada era media global yang sangat terhubung, apabila imej kematian dan kemusnahan disiarkan ke seluruh dunia hampir setiap hari, namun masyarakat antarabangsa tetap memalingkan muka.

“Negara-negara Barat yang kaya dan berkuasa, walaupun sedar akan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, sekadar memberi janji kosong berupa pengiktirafan sebuah negara Palestin pada masa depan, sambil membenarkan Gaza dan Tebing Barat dimusnahkan menggunakan bom, senjata dan dana buatan Barat serta AS,” katanya.

Alat pemasaran

Beliau turut menyifatkan hipokrasi dunia moden kini berada pada tahap paling jelas dan tidak terampunkan, apabila tragedi Gaza pula dieksploitasi sebagai alat pemasaran untuk mempromosikan senjata buatan Israel sebagai kononnya terbukti berkesan.

“Dalam erti yang paling tidak bermoral dan songsang, tragedi Gaza telah digunakan secara meluas dan berkesan untuk mempromosikan penjualan senjata buatan Israel sebagai ‘mesin pembunuh’ yang kononnya terbukti berkesan,” tegas beliau.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, ketika dunia kembali terlena dengan retorik ‘perjanjian damai’ dan penubuhan Lembaga Keselamatan, Israel terus mengebom Gaza serta menafikan makanan, ubat-ubatan dan perlindungan asas kepada rakyat Palestin, jelas melanggar perjanjian yang sering dicanang itu.

Beliau turut mendedahkan bahawa walaupun sebahagian negara Eropah mendakwa menyokong atau mengiktiraf sebuah negara Palestin, pembelian senjata buatan Israel oleh negara-negara Eropah sejak 2024 meningkat sebanyak 13 peratus, mencecah nilai AS$15 bilion.

“Walaupun kononnya menyokong dan sebahagian negara mengiktiraf sebuah negara Palestin, pembelian senjata buatan Israel oleh negara-negara Eropah sejak 2024 meningkat sebanyak 13 peratus kepada nilai AS$15 bilion.

“Eropah ialah pembeli terbesar senjata buatan Israel, dengan India di tempat kedua.

“Antara strategi pemasaran Israel yang paling berkesan ialah mendakwa dan mempamerkan kejayaan ‘terbukti di medan perang’ menggunakan visual dan video pembunuhan dari Gaza untuk meyakinkan pelanggan Eropah,” kata beliau.

Semakin kritikal

Memetik kenyataan Shir Hever, seorang pakar senjata Israel yang berpangkalan di Stuttgart, Jerman, Raja Bahrin berkata, sejak 7 Oktober 2023, sekitar 80,000 tan bom telah dijatuhkan ke atas Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya 70,000 rakyat Palestin.

“Nyawa manusia sama ada tua, muda dan anak-anak di Gaza telah digunakan sebagai ‘makmal kematian’ sebenar untuk membuktikan keberkesanan dan kejayaan senjata buatan Israel.

“Ini mencerminkan hipokrasi Barat yang berikrar menyokong sebuah negara Palestin sambil membeli senjata Israel dan juga membekalkan senjata kepada mereka untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya.

Tambah beliau, keadaan di Gaza semakin kritikal apabila Israel baru-baru ini mengharamkan 37 lagi pertubuhan sukarelawan daripada membekalkan makanan dan ubat-ubatan, ketika wilayah itu sedang berdepan musim sejuk dan hujan yang teruk.

Justeru, Raja Bahrin berkata, beliau sendiri sukar untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada rakan-rakan, apabila mengetahui tahun mendatang dijangka terus diselubungi kekejaman dan ketidakadilan.

“Tiada agama yang boleh merestui sikap tidak peduli terhadap kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai. Jika kita terus berdiam diri, kita turut bersubahat dalam tragedi yang sedang berlaku ini,” kata beliau yang pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.

BACA JUGA Gelar anjing khadam syaitan dibimbangi tanda kegelinciran alim