Titi gantung di Kelantan runtuh: PM arah segera diganti
Perdana Menteri mengarahkan peruntukan disediakan bagi penggantian segera titi gantung yang runtuh di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan.
Insiden awal tahun baharu itu menyaksikan lebih 50 tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan cedera terjatuh dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, petang semalam.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan penggantian segera jambatan yang runtuh itu demi menjamin keselamatan rakyat serta memulihkan kemudahan asas penduduk setempat.
Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, kerja penggantian jambatan itu akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Jelasnya, penggantian kemudahan itu dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pada itu turut menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada mangsa yang terbabit dalam kejadian berkenaan, khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memandang serius kejadian runtuhan berkenaan yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam.
“Selain itu, ia juga menjejaskan akses harian penduduk sekitar iaitu Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar,” katanya.
Semalam, dalam kejadian pada jam 2 petang, suasana meriah kenduri perkahwinan bertukar cemas apabila sebuah titi gantung tiba-tiba runtuh.
Seorang lelaki mengalami patah kaki selepas terjatuh di atas batu sungai, manakala seorang kanak-kanak cedera di kepala menerima beberapa jahitan.
Tiga lagi mangsa mengalami luka ringan serta sesak nafas.
BACA JUGA Pas punca perpecahan gabungan, sejarah wajar jadi iktibar