Guan Eng syor pelepasan cukai individu naik kepada RM12,000

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan kerajaan agar menyemak semula kadar pelepasan cukai pendapatan individu dengan dinaikkan secara berperingkat kepada RM12,000.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kadar RM9,000 ketika ini yang kekal sejak 15 tahun lalu
tidak lagi mencerminkan kos sara hidup yang semakin tinggi akibat inflasi.

Sehubungan itu, Guang Eng berkata, beliau akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu depan berhubung syor tersebut.

“Kerana sekarang pelepasan cukai setahun apabila kita isi borang cukai ialah RM9,000. Tapi (kadar) ini sudah kekal selama 15 tahun.

“Jadi, kalau kita lihat dari segi kadar kenaikan inflasi, kos sara hidup sudah naik berbanding dengan 15 tahun lalu.

“Sekarang RM9,000 dan ia harus naik kepada RM12,200. Kita harus genapkan kepada RM12,000.

“Oleh yang demikian, saya akan tulis surat kepada PMX (Perdana Menteri) minggu depan (mengenai syor ini),” katanya, dipetik BH.

BACA JUGA Titi gantung di Kelantan runtuh: PM arah segera diganti