330 anggota SWCorp turun padang, tiada kompromi terhadap pembuangan sampah
Berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) menandakan satu lagi fasa tegas kerajaan dalam usaha membudayakan kebersihan awam.
Langkah ini bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan persekitaran awam dipelihara tanpa mengira latar belakang, status atau kewarganegaraan.
Malah, warga asing dan kanak-kanak turut tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan jika didapati melanggar peruntukan undang-undang berkenaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan bahawa seramai 330 anggota penguat kuasa SWCorp telah digerakkan di seluruh negara sempena ambang tahun baharu 2026 bagi memastikan pelaksanaan akta berjalan lancar.
Hasilnya, hanya dalam tempoh beberapa jam selepas penguatkuasaan bermula pada jam 12.01 tengah malam, seramai 42 individu ditahan di sekitar Bukit Bintang, termasuk 18 warga asing dan dua kanak-kanak.
Tindakan ini mencerminkan pendekatan tegas tetapi adil, selaras dengan prinsip bahawa undang-undang tidak memilih bulu.
Dalam kes melibatkan kanak-kanak, tanggungjawab tidak diletakkan kepada mereka semata-mata, sebaliknya dipikul oleh ibu bapa atau penjaga. Pendekatan ini wajar kerana pembentukan disiplin dan nilai sivik bermula dari rumah.
Jika soal kebersihan dipandang remeh sejak kecil, tidak mustahil sikap sambil lewa itu akan terbawa-bawa hingga dewasa. Justeru, tindakan mengenakan kompaun bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi sebagai peringatan dan pendidikan kepada masyarakat.
Akta 672 turut memperuntukkan denda sehingga RM2,000 atau hukuman penjara, selain khidmat masyarakat seperti membersihkan kawasan awam, mencuci longkang dan tandas awam.
Dalam konteks lebih besar, langkah ini amat signifikan ketika Malaysia sedang mempergiat usaha menarik 45 juta pelancong dengan sasaran pendapatan RM350 bilion.
Imej negara yang bersih dan teratur merupakan aset penting dalam industri pelancongan. Seperti yang ditegaskan, tiada siapa kebal daripada undang-undang, sama ada warga tempatan mahupun pelawat.
Jika Malaysia benar-benar mahu dikenali sebagai negara maju dan berdisiplin, maka perubahan sikap terhadap kebersihan harus bermula sekarang, bukan sekadar bergantung kepada kempen bermusim.
BACA JUGA Titi gantung di Kelantan runtuh: PM arah segera diganti