500 pelajar terima baucar RM100 menerusi Program Back To School & Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 di Parlimen Alor Gajah

FOTO BERITA: Program Back To School & Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 bersama YB Adly Zahari Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah di Mydin Pulau Sebang Alor Gajah Melaka. 3hb Januari 2026 (Sabtu)

Seramai 500 pelajar menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang menerusi Program Back To School & Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 bersama YB Adly Zahari, Ahli Parlimen Alor Gajah merangkap Timbalan Menteri Pertahanan yang berlangsung meriah di Mydin Pulau Sebang, di sini, hari ini.

Program yang diadakan bersempena persiapan awal sesi persekolahan baharu itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak menjelang pembukaan sekolah tidak lama lagi.

Dalam ucapannya, YB Adly menegaskan bahawa pendidikan merupakan fokus paling asas dan utama di Parlimen Alor Gajah, merangkumi semua peringkat sama ada sekolah rendah, sekolah menengah mahupun universiti.

“Untuk mengubah generasi masa depan, tiada cara lain melainkan kita memberikan pendidikan yang sesempurna mungkin kepada anak-anak. Pendidikan bukan sekadar guru dan sekolah, tetapi turut melibatkan keperluan, kelengkapan serta infrastruktur pendidikan yang lengkap,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 21 peratus daripada bajet Parlimen Alor Gajah, iaitu sekitar RM700,000 hingga RM800,000, telah dibelanjakan khusus untuk sektor pendidikan, menjadikannya peruntukan kedua terbesar selepas pembangunan infrastruktur asas.
Menurut beliau, semua sekolah menengah di Parlimen Alor Gajah kini telah dilengkapi dengan digital board, sekali gus menjadikan kawasan tersebut antara parlimen yang menyediakan kemudahan pendidikan digital secara menyeluruh kepada pelajar sekolah menengah.

“Ini membuktikan komitmen kita dalam memastikan pelajar mendapat pendedahan kepada pembelajaran digital selari dengan keperluan pendidikan masa kini,” jelasnya.

Bagi membantu pelajar sekolah rendah pula, YB Adly memaklumkan kira-kira RM50,000 telah diperuntukkan bagi penyediaan kelengkapan persekolahan, selain bantuan kerajaan Persekutuan sebanyak RM150 kepada pelajar yang layak.

Katanya, gabungan bantuan daripada kerajaan Persekutuan, Parlimen serta pelbagai inisiatif lain diharap dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh fokus Kerajaan Malaysia MADANI yang kini memasuki tahun keempat pentadbiran, dengan penekanan terhadap pengukuhan ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh fokus Kerajaan Malaysia MADANI yang kini memasuki tahun keempat pentadbiran, dengan penekanan terhadap pengukuhan ekonomi negara.

“Perpaduan rakyat menjadi teras kekuatan ekonomi. Peningkatan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat menunjukkan ekonomi negara semakin stabil,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, YB Adly menyeru ibu bapa agar terus memberikan perhatian dan masa yang secukupnya kepada pendidikan anak-anak.

“Anak-anak adalah masa depan keluarga, negeri dan negara. Cara kita mendidik mereka hari ini akan menentukan masa depan Malaysia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua ibu bapa dan pelajar yang hadir menjayakan program tersebut.

“




