800 pelajar terima sumbangan tunai sempena Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Turut hadir YB Fadhlina Sidek Menteri Pendidikan, Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri di Place Of Golden OLDEN Horses, Jalan Kuda Emas, Mines Wellness City, Seri Kembangan, Selangor. 4hb Januari 2026 (Ahad)

Seramai 800 orang pelajar menerima sumbangan tunai dalam Majlis Perasmian Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang dihadiri YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia serta Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, selain wakil-wakil agensi, penaja dan sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM ini bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melalui pemberian sumbangan tunai bagi menampung keperluan persekolahan, sekali gus memastikan mereka dapat memulakan sesi pembelajaran dalam suasana lebih ceria, bersemangat serta doa agar usaha murni ini terus diberkati dan memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, khususnya di kawasan Bandar Tun Razak.

Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada TRM Foundation selaku penaja utama program atas komitmen dan sokongan berterusan dalam membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan, khususnya menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

“Apabila kita dapat memberikan sedikit kesenangan kepada mereka yang kekurangan, itu adalah satu nikmat. Alhamdulillah, dan terima kasih kepada TRM Foundation serta anak-anak muda yang telah membina dan menjayakan program ini dengan begitu baik,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan langkah pertama dalam kehidupan dan perjuangan, dengan mengaitkannya dengan pepatah masyarakat Cina bahawa perjalanan sejauh seribu batu bermula dengan satu langkah. Dr Wan Azizah juga berkongsi kisah simbolik Gunung Tai di China sebagai lambang kepimpinan yang berpandangan jauh serta tanggungjawab pemimpin untuk membantu masyarakat dari kedudukan yang diamanahkan.

Menurut beliau, seorang pemimpin tidak seharusnya melupakan asal-usul dan tempat berpijak, selari dengan pepatah Melayu “di mana langit dijunjung, di situ bumi dipijak”.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, khususnya Menteri Pendidikan, pegawai pendidikan daerah (PPD) serta para guru yang disifatkan sebagai tulang belakang dalam membentuk masa depan anak-anak. “Pendidikan adalah sangat penting. Dalam Islam, wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW ialah Iqra’ – bacalah. Ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam. kehidupan,” ujar beliau.

Sementara itu dalam ucapan Datuk Azman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TRM Foundation selaku penaja utama, khususnya kepada kepimpinan dan keluarga penaja, atas komitmen menjayakan program yang disifatkan bukan sahaja menakjubkan, malah amat bermakna kepada ibu bapa dan pelajar.

“Program ini amat penting kerana pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk kita keluar daripada kemiskinan. Sebab itu bantuan yang diberi hari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

“Program ini amat penting kerana pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk kita keluar daripada kemiskinan. Sebab itu bantuan yang diberi hari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

Datuk Azman turut menyentuh simbolik lokasi penganjuran di Istana Kuda Emas yang secara kebetulan selari dengan Tahun Kuda dalam kalendar zodiak Cina, yang melambangkan semangat, keteguhan dan kegembiraan, nilai-nilai yang wajar diterapkan dalam kehidupan serta pendidikan anak-anak.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail telah memberi komitmen untuk menyumbang dan membantu kira-kira 5,000 pelajar melalui program kembali ke sekolah, sekali gus mencerminkan keutamaan pendidikan dalam agenda khidmat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. “Walaupun jadual beliau amat padat, YB Datuk Seri Dr Wan Azizah tetap hadir hari ini sebagai tanda komitmen terhadap kebajikan rakyat dan pendidikan anak-anak,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja di Bandar Tun Razak, malah diperluaskan ke kawasan lain.

Datuk Azman juga menghargai pengorbanan ibu bapa yang hadir seawal pagi demi anak-anak, sambil memaklumkan bahawa hampir 800 pelajar sekolah rendah dan menengah di Parlimen Bandar Tun Razak menerima manfaat secara ikhlas melalui program berkenaan.

Mengakhiri ucapan, beliau menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang disifatkan sebagai antara wakil rakyat yang memperuntukkan sebahagian besar peruntukan kepada sektor pendidikan dan program berkaitan sekolah. “Tanpa komitmen Ahli Parlimen, banyak sumbangan dan manfaat ini tidak dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.

Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM dilihat sebagai manifestasi kerjasama antara kerajaan, penaja dan masyarakat dalam memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan anak-anak terus terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Kisah keprihatinan terhadap nasib kanak-kanak yang tercicir daripada pendidikan menjadi intipati ucapan Cik Xiner Li, Pengasas ERM Foundation, ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Program Ceria Ke Sekolah bersama ERM.

Dalam ucapannya, Cik Xiner Li berkongsi latar belakang kehidupannya yang membesar dalam sebuah keluarga penuh kasih sayang, memiliki tempat tinggal yang selesa serta peluang pendidikan yang sempurna, sehingga membuatkan beliau pada awalnya menyangka setiap kanak-kanak mempunyai laluan hidup yang sama.

Namun, persepsi itu berubah apabila beliau bertemu seorang kanak-kanak perempuan yang menjual air di tepi jalan dan tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah akibat kekangan kewangan keluarga. “Dia masih sangat muda, letih dan sedih. Apabila saya bertanya sama ada dia sepatutnya berada di sekolah, dia berkata dia berharap dapat bersekolah tetapi keluarganya tidak mampu,” katanya.

Detik tersebut, menurut Cik Xiner Li, membuka matanya bahawa perkara yang dianggap biasa oleh sesetengah pihak, seperti duduk di dalam bilik darjah setiap hari, sebenarnya adalah sesuatu yang hampir mustahil bagi kanak-kanak lain. Kesedaran itulah yang mendorong beliau menubuhkan ERM Foundation pada tahun 2024, ketika usianya baru 11 tahun, dengan matlamat memperjuangkan akses pendidikan dan peluang hidup yang lebih baik untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Walaupun masih muda, beliau memaklumkan bahawa ERM Foundation telah menjalankan inisiatif kebajikan merentasi lima benua dan lapan negara, serta berjaya membantu lebih 3,500 keluarga melalui pelbagai program sokongan dan pembangunan.

Cik Xiner Li turut menyatakan rasa gembira kerana program di Malaysia merupakan antara inisiatif awal ERM Foundation di negara ini, dan beliau berpeluang bekerjasama dengan tokoh wanita yang disifatkannya telah mendedikasikan sebahagian besar hidup untuk menyokong kebajikan kanak-kanak dan pendidikan. “Dedikasi seumur hidup beliau memberi saya harapan dan inspirasi. Saya sangat gembira dapat bekerja bersama mereka dan belajar daripada pengalaman mereka,” ujarnya.