Ini yang berlaku pada PH jika UMNO tinggalkan Kerajaan Perpaduan
Pakatan Harapan (PH) masih berpotensi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua walaupun tanpa kerjasama UMNO, kata Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.
Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, hal tersebut bergantung kepada beberapa faktor utama landskap politik semasa.
Menurutnya, antara faktor terpenting ialah corak sokongan pengundi Cina sekiranya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan kembali bekerjasama dengan Pas.
“Jika UMNO dan Pas kembali bergabung dalam suasana seperti yang direncana oleh sayap-sayap pemuda mereka, pengundi Cina dijangka kembali menyokong PH secara solid.
“PH akan kembali menguasai segmen bandar dan segmen bercampur seperti dalam PRU14 dan PRU15 sebelum ini,” katanya.
Selain itu, faktor Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut dilihat signifikan dalam menentukan keputusan PRU16.
Dr Yusri menjelaskan, kerjasama sedia ada antara PH dan GRS dalam kerajaan serta pilihan raya negeri yang lalu memberi petunjuk bahawa gabungan itu berkemungkinan diteruskan pada peringkat persekutuan.
“Dengan kedudukan dan kekuatan semasa serta disokong sebagai kerajaan negeri, GRS berpotensi memenangi banyak kerusi di Sabah nanti,” jelasnya.
Tidak kekal terikat
Dalam masa sama, beliau menekankan peranan penting Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak terikat secara kekal dengan mana-mana gabungan politik.
“Parti Sarawak itu tidak mengikat kesetiaan mereka dengan mana-mana gabungan lain, mereka akan membuat pertimbangan mengikut situasi,” ujarnya.
Menurut Dr Yusri, formula utama dalam hubungan dengan GPS adalah tidak mencabar mereka di Sarawak, selain mengambil kira sentimen dalaman negeri itu pasca PRU15 apabila wujud bantahan terhadap kemungkinan GPS membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Pas.
Beliau berpendapat jika PH mampu mengekalkan prestasi PRU15 atau hanya kehilangan beberapa kerusi, GRS meningkatkan kemenangan di Sabah, dan GPS mengekalkan dominasi di Sarawak, gabungan PH–GRS–GPS berupaya mencapai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
“Ini adalah congakan awal berdasarkan situasi semasa, sekadar menjawab persoalan sama ada PH boleh menang PRU16 tanpa UMNO,” jelasnya.
Dr Yusri turut menyifatkan gabungan PH, GRS dan GPS sebagai lebih mudah diurus serta kurang terdedah kepada konflik dalaman yang serius, dengan pembahagian peranan yang lebih jelas antara parti-parti komponen.
Sebaliknya, beliau melihat potensi kerjasama UMNO dan Pas, termasuk kemungkinan penyertaan Bersatu, sebagai lebih mencabar dari segi pengurusan dan pembahagian kerusi.
“Kedua-dua parti besar tersebut mempunyai kekuatan di tempat sama iaitu segmen Melayu, mudah terdedah kepada konflik jika tidak diurus dengan baik.
“Itu baru dua parti, apatah lagi kalau Bersatu juga akan sertai kerjasama yang sama dengan Pas dan UMNO,” tambah Dr Yusri lagi.
BACA JUGA Penculikan Presiden Venezuela tindakan tidak bertamadun oleh AS