Menantu Hadi Awang mengaku tak bersalah sertai himpunan haram

Menantu kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang di Kampung Sungai Baru.

Ketua Pas Sungai Buloh itu didakwa bersama tujuh individu lain yang menyertai perhimpunan bagi menentang operasi pengosongan Kampung Sungai Baru tahun lepas.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Zaharudin yang diwakili peguam, Latheefa Koya memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah dengan dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga dan anak-anak.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000. Mahkamah menetapkan 24 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

BACA JUGA 1ni 12 perkara penting perutusan Tahun Baharu 2026 oleh PM Anwar